NEYMAR pemain termahal dunia. - FOTO Agensi
NEYMAR pemain termahal dunia. - FOTO Agensi
Reuters

PENGARAH Sukan Paris St Germain, Leonardo berkata, Neymar bebas meninggalkan juara Perancis tetapi sehingga kini belum ada sebarang tawaran dan hanya spekulasi mengaitkannya dengan bekas kelab, Barcelona.

Penyerang Brazil itu menyertai PSG dari Barcelona pada 2017 sebagai pemain termahal dunia bernilai 222 juta euro (RM1.030 bilion) dengan kontrak lima tahun.

"Neymar boleh meninggalkan PSG jika mendapat tawaran memuaskan hati semua pihak. Tetapi sehingga kini kami tak tahu ada pasukan berminat tetapi ia tak akan berlaku dalam satu hari, itu yang pasti,” katanya dalam laman web kelab.

"Ramai sudah tahu dia mahu meninggalkan PSG tetapi dalam bola sepak, anda berkata sesuatu hari ini dan esok berkata lain.

"Apa yang pasti dia masih mempunyai baki kontrak tiga tahun bersama kami. Oleh kerana belum ada sebarang tawaran, kami tidak boleh berunding apa-apa.”

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu berkata minggu lalu bahawa Neymar mahu kembali ke Sepanyol tetapi PSG enggan menjualnya.

Paris St Germain pula menegaskan semalam mereka akan mengambil tindakan ke atas bintang Brazil itu selepas gagal menghadiri sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 6:44 PM