BARCA cuba untuk mendapatkan kembali Neymar selepas dua tahun bersama PSG dengan bayaran rekod dunia 222 juta euro ( RM1.02 bilion). FOTO EPA
BARCA cuba untuk mendapatkan kembali Neymar selepas dua tahun bersama PSG dengan bayaran rekod dunia 222 juta euro ( RM1.02 bilion). FOTO EPA
Reuters

PARIS St Germain masih belum mencapai persetujuan dengan Barcelona untuk membawa pulang Neymar ke pangkuan juara Sepanyol selepas kelab Catalan itu gagal memenuhi harga permintaan kelab Perancis terhadap penyerang Brazil itu, kata pengarah sukan PSG Leonardo hari ini.

Cubaan Barca untuk mendapatkan kembali Neymar selepas dua tahun bersama PSG dengan bayaran rekod dunia 222 juta euro ( RM1.02 bilion) mendominasi laporan utama sukan buat beberapa bulan lamanya, namun masa semakin suntuk untuk memuktmadkan kontrak sebelum jendela perpindahan berakhir pada 2 September.

Bercakap selepas kemenangan 2-0 PSG ke atas Metz awal pagi tadi, yang tidak disertai Neymar, Leonardo berkata juara Ligue 1 hanya akan menjual pemain pada harga yang sesuai, yang masih belum berjaya dipenuhi Barca.

“Kali pertama kami menerima permohonan daripada Barcelona untuk Neymar adalah pada 27 Ogos, mereka masih belum memberi tawaran yang sesuai dengan kehendak kami,” kata Leonardo.

“Pendirian PSG terhadap Neymar sentiasa jelas: jika mendapat tawaran yang memuaskan dia boleh pergi tetapi itu bukan isunya. Rundingan bukannya dibatalkan tetapi tiada persetujuan buat masa sekarang kerana permintaan kami masih belum dipenuhi.”

Leonardo tidak menyembunyikan hakikat bahawa Neymar mahu meninggalkan PSG tetapi kedudukan pemain Brazil itu tidak dapat dibantu dengan harganya yang terlalu tinggi.

“Neymar sentiasa menjelaskan yang dia mahu meninggalkan kelab tetapi tiada siapa pun yang mempunyai cukup wang untuk membelinya. Jika tiada tawaran yang kami anggap berbaloi, dia akan kekal di sini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 11:22 AM