COUTINHO (dua dari kanan) jaring dua gol bantu Brazil benam Bolivia.  -Foto Reuters
COUTINHO (dua dari kanan) jaring dua gol bantu Brazil benam Bolivia. -Foto Reuters
Reuters

PHILIPPE Coutinho meledak jaringan berganda pada separuh masa kedua dan Everton menyumbang gol ketiga ketika Brazil bangkit daripada permulaan lesu untuk menewaskan Bolivia 3-0 dalam aksi pembuka tirai Copa America pagi ini.

Kedua-dua pasukan tidak bermaya pada separuh masa pertama namun perlawanan bertukar rentak lima minit selepas separuh masa kedua apabila Coutinho menjaringkan gol menerusi penalti dengan bantuan VAR.

Coutinho menggandakan jaringan menerusi tandukan jarak dekat tiga minit kemudian sebelum Everton menjaringkan gol ketiga dengan baki lima minit perlawanan.

Perlawanan berkenaan adalah yang pertama dalam kejohanan ini yang diadakan di Brazil sejak 1999.

Kesemua 10 pasukan Amerika Selatan menyertainya termasuk pasukan jemputan Qatar dan Jepun.

Brazil yang mempertaruhkan Roberto Firmino di depan dan Fernandinho di tengah menggantikan Arthur yang cedera, gagal memberi inspirasi terhadap 46,342 penyokong di Stadium Morumbi Sao Paulo.

Menyarung jersi putih buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun, skuad tuan rumah berhempas pulas namun tidak begitu berbahaya dan meskipun mendahului 2-0, mereka bagaikan hilang idea dan kesungguhan.

Bolivia yang kali terakhir menjulang gelaran itu pada 1963, jarang memberi ancaman kepada pasukan lawan.

Peru akan menentang Venezuela di Porto Alegre awal pagi esok dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A. Perlawanan Brazil seterusnya adalah menentang Venezuela di Salvador pagi Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 11:34 AM