PEMAIN import Kedah, Jonatan Bauman (tengah) diasak pemain FELDA United  pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, minggu lalu.
PEMAIN import Kedah, Jonatan Bauman (tengah) diasak pemain FELDA United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, minggu lalu.
Asrol Awang

DI SEBALIK berdepan risiko tersingkir ke Liga Perdana musim depan, FELDA United FC terus menyimpan impian beraksi di pentas final Piala FA musim ini.

Biarpun akur tewas 0-1 kepada Kedah pada separuh akhir pertama di Alor Setar 22 Jun lalu, ia tidak memadam misi mengulangi pencapaian ke pentas final pada 2014.

Namun, pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil mengakui situasi berbeza terpaksa dilalui skuad itu memerlukan komitmen tinggi dipersembahkan anak buahnya.

"Ketika ini, kedua-dua saingan iaitu Liga Super dan Piala FA memerlukan FELDA United bekerja keras untuk memenuhi misi penting.

"Apabila berada di separuh akhir, kami tidak boleh memberi ruang kepada lawan kerana kami sudah berjaya mengharunginya di pusingan pertama lagi," katanya.

Justeru, Mohd Nidzam mahu anak buahnya melupakan seketika saingan Liga Super kerana aksi separuh akhir kedua Piala FA juga penting untuk menilai prestasi pasukan.

Katanya, ini kerana perjuangan The Fighters belum lagi berakhir kerana perlawanan masih lagi berbaki 90 minit.

"Sebaik kami tewas dengan dibolosi satu gol di tempat lawan, ia membuktikan pemain berjaya menyekat lawan daripada mencatat kemenangan besar.

"Oleh itu, beraksi di Stadium Tun Razak Ahad ini diharap memberi kelebihan untuk merekodkan kemenangan, sekali gus mengisi tempat ke pentas final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 5:45 PM