AKSI  Najmi  (kiri) cuba menghalang pemain UiTM dalam perlawanan berlangsung  di Stadium Hoki Tun Razak, baru-baru ini.
AKSI Najmi (kiri) cuba menghalang pemain UiTM dalam perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, baru-baru ini.
Saiful Affendy Sapran

SELEPAS 'berehat' lapan bulan, pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan kembali dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Najmi yang meninggalkan skuad negara secara mengejut Julai tahun lalu berada dalam senarai 28 pemain yang dipilih ketua jurulatih, Roelant Oltmans.

Aksi cemerlangnya membantu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memenangi Liga Perdana dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) serta naib juara Piala TNB dilihat menjadi faktor utama mengapa Oltmans kembali memanggilnya semula ke dalam kem latihan skuad kebangsaan.

"Sudah tentu saya amat bersyukur kerana dipanggil semula ke dalam kem latihan skuad negara. "Sebelum ini saya meninggalkan pasukan kerana ada masalah peribadi. Urusan itu sudah selesai dan sekarang saya boleh fokus semula bersama skuad kebangsaan.

"Saya dipilih semula mungkin kerana beraksi dengan baik pada saingan liga. Saya harap dapat terus terpilih beraksi di Piala Sultan Azlan Shah dan kejohanan lain selepas ini," kata Najmi yang terlepas beraksi di Sukan Asia Indonesia serta Piala Dunia di Bhubaneswar, India sepanjang meninggalkan skuad kebangsaan.

Ketika Najmi dilihat pilihan tepat disenaraikan dalam skuad negara, masih ada keraguan terhadap pemilihan pemain lain seperti Joel Van Huizen yang tidak menyerlah pada saingan liga.

Oltmans juga menyenaraikan empat pemain baru iaitu Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Kesemua pemain negara akan menyertai kem latihan di Kuantan Pahang bermula 10 hingga 16 Mac 2019. Skuad negara akan menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 23 hingga 30 Mac dan Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur pada 26 April hingga 4 Mei 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:47 PM