VETTEL berang dikenakan penalti yang menafikan kemenangannya di GP Kanada. FOTO AFP
VETTEL berang dikenakan penalti yang menafikan kemenangannya di GP Kanada. FOTO AFP
Reuters

SEBASTIAN Vettel berang dan kecewa susulan penalti yang menafikan kemenangannya di Grand Prix Kanada awal pagi tadi namun berharap dapat berlumba dalam situasi di mana pemandu menentukan kemenangan bukannnya peraturan.

Bermula dari petak pertama Vettel dilihat bersedia memburu kemenangan pertama Ferrari musim ini sehinggalah diberi tekanan oleh Lewis Hamilton, tersilap perkiraaan untuk masuk ke ‘chicane’, masuk semula ke trek merentasi kawasan berumput untuk memintas Mercedes.

Insiden itu menarik perhatian pegawai perlumbaan, yang mendakwa Vettel melakukan pemanduan berbahaya dan memberikan penalti lima saat yang meletakkannya di tangga kedua dan memberikan kemenangan kepada pendahulu kejuaraan Hamilton.

Vettel yang berang meluahkan kemarahannya menerusi radio dan terus meluahkan kemarahannya kepada pegawai perlumbaan selepas itu namun juara dunia empat kali itu kemudiannya mengambil sikap bertenang.

“Saya terfikir saya sukakan perlumbaan saya, saya seorang pelumba sejati dan menyukai zaman lampau, kereta lama dengan pelumba yang lama,” kata Vettel.

“Saya hanya berharap saya sebaik apa yang dilakukan tetapi melakukannya pada zaman dulu, bukannya sekarang.”

Biarpun berang dengan keputusan itu, Vettel berkata kebimbangan terbesarnya adalah penalti yang menjadi simptom masalah lebih besar melanda Formula Satu iaitu peraturan.

Vettel mempertahankan tindakannya dengan berkata: “Keutamaannya pada ketika itu adalah untuk menyelamatkan diri’ dan nalurinya meramalkan apa akan berlaku ketika pegawai perlumbaan hanya memikirkan situasi ‘hitam atau putih’ dan bukannya ‘kelabu’.

“Saya kembali ke trek dan Lewis perlu bertindak balas. Bagi saya itulah perlumbaan,” kata Vettel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 8:57 AM