Reuters

Budapest: Sebastian Vettel (gambar) berkata, dia tetap tenang menjelang aksi Grand Prix Hungary walaupun sedar kedudukannya selaku pendahulu kategori pelumba Formula Satu berisiko dirampas seteru dari Mercedes, Lewis Hamilton.

Pelumba Jerman itu yang juga juara empat kali bersama Red Bull, melangkah ke perlumbaan terakhir sebelum rehat bulan depan dengan kelebihan satu mata di depan Hamilton dan pesaingnya itu berpeluang menduduki tangga teratas buat kali pertama musim ini jika menang buat kali keenam di Hungaroring.

“Saya tidak tertekan. Di atas kertas, kami berdua sepatutnya mampu berlumba dengan baik. Kita tunggu dan lihat,” kata Vettel.

“Saya sukakan litar itu dan saya pasti menikmatinya. Kami semua tahu apa yang perlu kami lakukan dan itulah yang sedang kami rancangkan.

“Ini adalah perlumbaan terakhir sebelum rehat atau yang pertama selepas Silverstone... ia tidak mengubah apa-apa.”

Vettel memiliki kelebihan 25 mata berbanding Hamilton selepas aksi di Monaco, Mei lalu tetapi jumlah itu mengecil apabila pelumba Mercedes berkenaan semakin serasi dengan jenteranya.

Hamilton menang dua daripada empat perlumbaan sejak itu manakala Vettel gagal menamatkan saingan di podium dalam tiga aksi.

Hamilton juga memegang rekod sebagai pelumba yang paling kerap menang di Hungary berbanding pelumba lain dan jika memulakan aksi di petak utama, dia bakal menyamai rekod sepanjang zaman milik Michael Schumacher sebanyak 68 kali.

Vettel setuju dengan hakikat yang menyebut Mercedes melakar kejayaan lebih baik berbanding Ferrari sejak kebelakangan ini.

“Saya rasa kami perlu melihat kepada perlumbaan. Kami tidak dapat berlumba dengan baik sejak kebelakangan ini. Kami hampir menang di Austria, saya tidak fikir kami kurang pantas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:44 AM