Suffian mahu Pahang pertahan kejuaraan Piala FA. FOTO NSTP
Suffian mahu Pahang pertahan kejuaraan Piala FA. FOTO NSTP
Skuad Pahang akan kembali jalani latihan Jumaat ini. FOTO NSTP
Skuad Pahang akan kembali jalani latihan Jumaat ini. FOTO NSTP
Asrol Awang


SKUAD Pahang dituntut mempamer aksi lebih padu sebaik kembali menjalani latihan Jumaat ini, selepas menyambut perayaan Aidilfitri.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ini kerana fokus skuad itu bukan sahaja saingan Liga Super malah aksi separuh akhir Piala FA.

"Saya harap apabila mereka kembali pada hari raya ketiga nanti, komitmen dan persefahaman meningkat dalam usaha memperkasakan pasukan.

"Pada masa sama, Pahang akan berdepan Perak pada aksi separuh akhir Piala FA, 23 dan 29 Jun ini.

"Lebih-lebih lagi kami mahu mempertahankan piala yang dimenangi musim lalu," katanya.

Mengulas kehadiran ahli baharu dalam skuad Tok Gajah, Mohammed Suffian mengharapkan penyerang import dari Namibia, Lazarus Kaimbi akan memberi impak di bahagian serangan.

Katanya, kepercayaan yang diberikan pengurusan diharap dibalas dengan prestasi cemerlang, sekali gus mengatasi masalah ketumpulan jentera hadapan skuad itu.

"Sudah pasti sebagai ahli baharu dalam pasukan, kami mengharapkan Kaimbi akan cepat menyesuaikan diri dan bersedia untuk membantu memperkuatkan jentera serangan.

"Sebagai pemain yang berpengalaman, Kaimbi diharap membuktikan pilihan Pahang adalah tepat untuk memperkasakan pasukan," katanya.

Pada jendela perpindahan kedua, pemain import berumur 31 tahun itu menggantikan Jose Eduardo atau Ze Love dari Brazil yang gagal menyerlah selaku penyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 3:16 PM