SALAH meledak gol pembukaan menerusi penalti seawal minit kedua. — FOTO EPA
SALAH meledak gol pembukaan menerusi penalti seawal minit kedua. — FOTO EPA
AFP

MOHAMED Salah menjaringkan satu daripada gol terpantas pada final Liga Juara-Juara manakala Divock Origi meledak lewat aksi ketika Liverpool mengalahkan Tottenham Hotspur 2-0 di Madrid awal pagi tadi sekali gus memenangi trofi itu buat kali keenam.

Kurang dua minit aksi berlangsung apabila Salah menyempurnakan sepakan penalti mengatasi Hugo Lloris selepas Moussa Sissoko dipersalahkan kerana memegang bola dalam kawasan gol.

Liverpool tidak peduli ketika baki seterusnya agak hambar namun Alisson Becker melakukan beberapa tindakan penyelamat pada babak akhir sebelum pemain gantian Origi merembat masuk gol kedua pemusnah pada minit ke-87.

Ia mencetus suasana gegak-gempita penyokong mereka di Stadium Metropolitano ketika anak buah Juergen Klopp menebus kekalahan di tangan Real Madrid pada final tahun lalu selain kegagalan mengatasi Manchester City bagi kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

ORIGI (tiga kiri) menyumbat gol kedua tiga minit sebelum tamat. — FOTO Reuters
ORIGI (tiga kiri) menyumbat gol kedua tiga minit sebelum tamat. — FOTO Reuters

Salah turut menebus kekecewaannya selepas kecederaan memusnahkan malamnya menentang Real di Kiev dan Klopp menjulang trofi sulung sebagai pengurus Liverpool, tiga setengah tahun selepas hadir di Anfield.

Pengendali dari Jerman itu juga menamatkan enam kekalahan berturut-turut pada aksi final.

Lebih penting, Liverpool meraih kejuaraan Piala Eropah kali keenam, mengukuhkan status mereka sebagai satu daripada kelab terhandal dalam kancah bola sepak.

Mereka kini menang lebih berbanding Barcelona atau Bayern Munich dan sekali ganda mengatasi musuh utama mereka Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 7:33 AM