HENDERSON (tengah) menjulang trofi selepas memenangi Liga Juara-Juara di Wanda Metropolitano, Madrid, awal pagi tadi. — FOTO EPA
HENDERSON (tengah) menjulang trofi selepas memenangi Liga Juara-Juara di Wanda Metropolitano, Madrid, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Agensi

KEJAYAAN Liverpool memenangi Liga Juara-Juara pasti “mustahil” tanpa pengurus Juergen Klopp, menurut kapten Jordan Henderson.

Reds mengalahkan musuh Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur 2-0 di Madrid awal pagi tadi untuk memenangi pertandingan Eropah itu buat kali keenam dalam sejarah kelab itu.

Sekalipun ia persembahan yang gagal menepati standard dipamerkan skuad Klopp sepanjang musim, gol penalti Mohamed Salah dan jaringan lewat Divock Origi cukup memastikan trofi Liga Juara-Juara kembali ke Anfield.

Kemenangan ke atas anak buah Mauricio Pochettino turut menghadiahkan trofi sulung bos Reds itu sejak mengambil alih di kelab Merseyside pada 2015 dan Henderson menegaskan kemenangan itu tidak mungkin dicapai tanpa pengendali dari Jerman itu.

HENDERSON (kiri) memeluk Klopp selepas wisel penamat di Madrid. — FOTO Reuters
HENDERSON (kiri) memeluk Klopp selepas wisel penamat di Madrid. — FOTO Reuters

“Tanpa pengurus ini ia mustahil,” kata kapten Liverpool itu.

“Anda mengharungi saat sukar ketika musim berlangsung, tapi apa yang beliau sudah lakukan sejak tiba di sini amat luar biasa.

“Kami bersatu hati, beliau mencipta bilik persalinan yang istimewa, semua pujian buat pengurus kami.”

Henderson, yang menyertai Liverpool pada 2011 dan menggantikan Steven Gerrard sebagai kapten pada 2015, turut mengemudi kelab Liga Perdana itu pada final tahun lalu namun terpaska berpuas hati dengan pingat naib juara selepas tewas 1-3 kepada Real Madrid di Kiev.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu yang menjulang trofi kali ini dan dia menganggapnya sebagai “saat terbaik dalam hidupnya’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 10:39 AM