Hodak tamat kontrak Julai ini. FOTO NSTP
Hodak tamat kontrak Julai ini. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


"SECARA rasmi belum ada jurulatih yang disenarai pendek," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengenai pengganti Bojan Hodak yang tidak disambung kontrak selaku pengendali skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19).

Katanya, sebaik tamat kontrak pada Julai tahun ini pengendali dari Croatia itu tidak akan diserap ke unit lain dan ada sebarang kaitan lagi dengan FAM.

Beliau malah menafikan FAM sedang meneliti nama beberapa calon yang diuar-uar sebelum ini.

Katanya, sebaliknya perbincangan dalam FAM fokus untuk memastikan penstrukturan semula bahagian kejurulatihan diteliti lebih mendalam daripada pelbagai kriteria, seperti falsafah bola sepak, pembangunan dan kejurulatihan.

"Banyak aspek yang ingin kita pastikan daripada aspek permainan bola sepak, kejurulatihan sehingga ke akar umbi.

"Kami juga akan memantau penggunaan masa setiap jurulatih. Ada ramai jurulatih kebangsaan tapi kalendar tugasannya dalam setahun tidak banyak kejohanan.

"Seperti Hodak hanya dua kejohanan tahun ini dan jika dicampur semua hari dia bertugas, tugasannya pendek sedangkan dia dibayar gaji bulanan," katanya dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, pihaknya juga akan memastikan daripada struktur kejurulatihan ada pandangan daripada setiap unit di atas.

"Skuad B-19 ini adalah landasan untuk skuad B-23, jadi FAM akan lihat semula dan pastikan setiap pasukan di bawah peringkat umur ada hubungan dengan bahagian kejurulatihannya.

"Peralihan tugas akan berlaku tidak lama lagi dan keutamaan kami untuk pastikan persedian pasukan untuk hadapi kejohanan tidak terjejas," katanya.

Keputusan tidak melanjutkan kontrak Hodak diputuskan FAM dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kelapan pada 25 Mei lalu.

Mengikut laporan sebuah portal berita, Stuart menafikan ia ada kaitan dengan kritikan Hodak kepada FAM pada Mac lalu mengenai sistem pembangunan bola sepak negara yang disifatkannya tidak betul terutamanya di peringkat akar umbi.

Antara pencapaian Hodak selaku ketua jurulatih skuad B-19 sejak 2017 adalah membawa pasukan muncul juara Kejuaraan AFF B-19 serta bermain dalam Kejohanan AFC B-19 pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:42 PM