AZRAAI anggap Malaysia ramai jurulatih berpengalaman. FOTO NSTP
AZRAAI anggap Malaysia ramai jurulatih berpengalaman. FOTO NSTP
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KEUTAMAAN harus diberikan kepada pengendali tempatan berbanding asing menjadi ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara.

Demikian disuarakan jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah selain menyifatkan Malaysia memiliki ramai jurulatih berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan untuk dipertimbangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan kontrak Datuk Ong Kim Swee yang berakhir 31 Disember ini tidak disambung.

Katanya, beliau tidak menafikan kehebatan dan kemampuan jurulatih dari Jepun dan Korea Selatan dalam membimbing negara di rantau ini seperti Thailand dan Vietnam.

“Namun, dengan kehadiran ramai jurulatih kita termasuk yang mendapat lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), mereka sewajarnya diberi peluang.

“Jika tak cukup dari segi pengetahuan, hantar mereka ikuti seminar atau kursus kejurulatihan bola sepak mengikut kehendak FAM.

“Bukankah kita ada pengarah teknikal (Peter De Roo), DNA dan falsafah bola sepak untuk diikuti dan diselaraskan di pelbagai peringkat pembangunan bola sepak negara?” katanya ketika dihubungi semalam.

Dia mengulas laporan Arena Metro mengenai isu pengganti Kim Swee termasuk cadangan menggunakan khidmat ketua jurulatih dari Jepun dan Korea Selatan.

Pandangannya senada dengan bekas pemain kebangsaan, Safee Sali yang berharap jurulatih tempatan diberi peluang berbanding pengendali asing.

Menurut Mohd Azraai Khor, pengendali tempatan boleh menjadi aset jangka panjang dalam pembangunan bola sepak berbanding jurulatih asing yang mungkin membabitkan kos tinggi termasuk gaji.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 6:30 AM