HODAK (tengah) tamat kontrak hujung bulan Julai depan.
HODAK (tengah) tamat kontrak hujung bulan Julai depan.
Harian Metro

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan kriteria tertentu dalam pemilihan ketua jurulatih skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) selepas kontrak Bojan Hodak berakhir pada penghujung Julai depan.

Malah, individu yang berkelayakan terbabit juga tidak semestinya jurulatih warga asing, malah pengendali tempatan juga mempunyai peluang mengisi kekosongan terbabit.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menyerahkan kepada jawatankuasa teknikal untuk memilih individu yang layak mengisi kekosongan itu nanti.

Beliau berkata, ketua jurulatih B-19 mempunyai tugas mencabar dalam melahirkan barisan pemain pelapis berkualiti untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya.

“Apa yang boleh saya katakan individu yang menggalas jawatan itu perlu mengetahui identiti bola sepak Malaysia dan mampu memenuhi visi serta misi yang ditetapkan FAM sebelum ini.

“Saya tidak boleh beritahu kriteria yang diperlukan sama ada individu berkenaan adalah jurulatih asing atau sebaliknya kerana perkara itu adalah di bawah kuasa jawatankuasa teknikal FAM,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan kontrak pengendali kelahiran Croatia itu tidak akan dilanjutkan apabila tamat penghujung bulan Julai depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelapan yang diadakan di ibu negara baru-baru ini sebulat suara untuk tidak menggunakan lagi khidmat Hodak.

Stuart berkata, pemilihan jurulatih itu akan ditentukan sebaik khidmat Hodak tamat dan perkara itu tidak mengganggu perancangan FAM untuk membina skuad B-19 yang mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:40 AM