KOMPANY (tengah) bersama penjaga gol Ederson (kiri) dan Phil Foden (kanan) meraikan kejayaan di atas bas ketika perarakan juara di Manchester, awal pagi tadi. — FOTO EPA
KOMPANY (tengah) bersama penjaga gol Ederson (kiri) dan Phil Foden (kanan) meraikan kejayaan di atas bas ketika perarakan juara di Manchester, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

VINCENT Kompany mendedahkan dia sedar masanya “sudah tiba” di Manchester City sebaik dia meledak gol kemenangan menakjubkan menentang Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris, 6 Mei lalu.

Pemain Belgium itu menamatkan penampilan 11 tahun di City Ahad lalu untuk menjadi pemain-pengurus di Anderlecht - kelab yang mana dia memulakan karier hampir dua dekad lalu.

“Saat bola itu menerjah jaring menentang Leicester, saya tahu ia sudah berakhir. Saya sudah memberikan yang terbaik,” kata kapten City ketika perarakan untuk meraikan kejayaan kelab itu menjuarai tiga trofi domestik, awal pagi tadi.

City membenam Watford 6-0 pada final Piala FA Sabtu lalu untuk muncul kelab pertama melengkapkan tiga kejuaraan domestik Inggeris.

KOMPANY meraikan jaringan menentang Manchester United di Stadium Etihad pada 7 April tahun lalu. — FOTO AFP
KOMPANY meraikan jaringan menentang Manchester United di Stadium Etihad pada 7 April tahun lalu. — FOTO AFP

Kejayaan Piala FA menjadi aksi terakhir Kompany, 33, bersama City, yang mana dia memenangi empat kejuaraan Liga Perdana, dua Piala FA dan empat Piala Liga.

“Saya sudah memberikan segala-galanya buat kelab ini. Saya tak dapat menggambarkan kepada anda betapa bangganya saya,” katanya sambil menayang kemeja-t merujuk kepada reaksi ‘jangan rembat’ penyerang Sergio Aguero terhadap gol menentang Leicester.

Pengurus Pep Guardiola berkata: “Kami akan terasa kehilangannya. Saya akan merinduinya tapi dia akan berjumpa kami selepas ini kerana dia tetap akan kembali.

“Ia satu cara terbaik untuk mengucapkan selamat tinggal selepas musim menakjubkan bersama. Dia seorang kapten sejati, dia banyak membantu kami. Kami akan membuktikan kepadanya betapa kami sayangkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 12:53 PM