KOMPANY menjulang trofi Liga Perdana minggu lalu. — FOTO Reuters
KOMPANY menjulang trofi Liga Perdana minggu lalu. — FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER City berada di ambang meraih tiga trofi domestik semusim dengan hanya Watford menjadi halangan pada final Piala FA Inggeris malam esok, namun potensi musim bersejarah dibayangi dengan kemungkinan beberapa siasatan terhadap aktiviti luar padang kelab itu.

City muncul pasukan pertama dalam sedekad mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu, mengatasi Liverpool dengan hanya satu mata bagi menamatkan saingan sengit susulan 14 kemenangan liga berturut-turut.

Anak buah Pep Guardiola turut mengekalkan Piala Liga Februari lalu, pusingan pertama daripada potensi menyapu bersih kejuaraan domestik, sesuatu yang tidak pernah dilakukan di England.

Bagaimanapun, kelab itu berdepan final di Wembley dengan menangani laporan mereka mungkin digantung semusim daripada Liga Juara-Juara kerana dakwaan melanggar peraturan kewangan.

GUARDIOLA dikelilingi stafnya bersama trofi Liga Perdana. — FOTO AFP
GUARDIOLA dikelilingi stafnya bersama trofi Liga Perdana. — FOTO AFP

Kes itu dirujuk kepada badan kehakiman UEFA Khamis lalu untuk memutuskan bentuk penggantungan yang sewajarnya.

City membalas, menyatakan mereka “kecewa, tapi tidak terkejut” dengan tindakan badan induk bola sepak Eropah itu.

Persatuan Bolasepak (FA) England menyatakan Februari lalu, mereka menyiasat dakwaan City membayar £200,000 (RM1.06 juta) kepada ejen pemain sayap Borussia Dortmund dan England, Jadon Sancho ketika pemain itu berusia 14 tahun.

Peraturan FA menyatakan pemain muda tidak boleh diwakili ejen hingga mereka berusia 16 tahun.

WATFORD (jersi kuning hitam) menyingkirkan Wolves pada separuh akhir Piala FA. — FOTO Agensi
WATFORD (jersi kuning hitam) menyingkirkan Wolves pada separuh akhir Piala FA. — FOTO Agensi

Juara Inggeris itu juga boleh dikenakan penggantungan dua jendela perpindahan oleh FIFA kerana merekrut pemain muda asing dan tuduhan melanggar pemilikan pihak ketiga.

Pasukan Guardiola memecahkan banyak rekod sepanjang tiga tahun beliau mengendali kelab itu di sebalik tanpa trofi pada musim sulungnya di England.

Bagaimanapun, penguasaan dengan memenangi tiga trofi Piala Liga, Liga Perdana dan Piala FA akan membolehkan pasukan City dianggap yang terbaik pernah dihasilkan di England.

“Saya terdesak, terdesak, terdesak untuk memenangi Piala FA. Anda tidak tahu betapa ia menjadi keutamaan,” kata kapten City, Vincent Kompany selepas menjulang trofi Liga Perdana hujung minggu lalu.

GERARD Deulofeu dari Sepanyol wira Watford dengan dua gol pada separuh akhir. — FOTO Agensi
GERARD Deulofeu dari Sepanyol wira Watford dengan dua gol pada separuh akhir. — FOTO Agensi

Kompany mungkin tanpil kali terakhir bersama City di Wembley dengan kontrak pemain Belgium itu tamat musim panas ini dan tiada sebarang perjanjian baharu dimeterai.

City menang Piala FA kali kelima pada 2011, trofi pertama sejak Sheikh Mansour mengambil alih kelab itu, namun pasti bimbang jika kesilapan serupa ketika menentang Wigan pada 2013 di Wembley berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 10:27 AM