NASRI (kanan) bersama pengarah teknikal Anderlecht, Frank Arnesen selepas sidang akhbar di Brussels, semalam. — FOTO AFP
NASRI (kanan) bersama pengarah teknikal Anderlecht, Frank Arnesen selepas sidang akhbar di Brussels, semalam. — FOTO AFP
AFP

BEKAS pemain tengah Perancis, Samir Nasri menyatakan dia menyertai bekas rakan sepasukan Manchester City, Vincent Kompany di Anderlecht untuk “menjadi contoh kepada generasi muda.”

Pemain berusia 32 tahun itu menjadi ejen bebas selepas kontrak singkatnya bersama West Ham berakhir.

Dia menyertai kelab London itu Januari lalu selepas menamatkan penggantungan 18 bulan kerana doping dan melakukan enam penampilan, yang terakhir dari bangku simpanan menentang Huddersfield, Mac lalu.

Kompany, 33, kembali ke kelab pertamanya untuk memulakan langkah pertama dalam kejurulatihan sebagai pemain-pengurus. Dia meninggalkan kelab itu untuk ke Jerman pada 2006 sebelum menghabiskan lebih sedekad dalam Liga Perdana Inggeris.

KOMPANY kini pemain-pengurus Anderlecht. — FOTO Twitter Anderlecht
KOMPANY kini pemain-pengurus Anderlecht. — FOTO Twitter Anderlecht

Karier Nasri termasuk penampilan bersama City, Arsenal dan Sevilla selain beraksi 41 kali buat negaranya.

Dia digantung tiga perlawanan oleh persekutuan bola sepak Perancis apabila menghina seorang wartawan selepas Perancis tewas di tangan Sepanyol pada Euro 2012. Dia bersara daripada skuad kebangsaan dua tahun kemudian.

“Saya melakukan kesilapan, saya mempunyai karakter yang kuat, itulah sebabnya mungkin anda melihat perkara buruk di Internet,” katanya.

“Wang bukannya motivasi, ia satu projek bola sepak, hakikat yang mana saya boleh bekerja dengan seorang sahabat,” ujar Nasri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 8:34 AM