BERNARDO kini tonggak utama skuad Guardiola. — FOTO Agensi
BERNARDO kini tonggak utama skuad Guardiola. — FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER City berada di ambang sejarah ketika mereka memburu tiga trofi domestik semusim buat kali pertama dalam liga Inggeris namun bagi pemain kebangsaan Portugal, Bernardo Silva ia satu kejayaan yang pernah dirasainya sebelum ini sekalipun dia tidak mempunyai pingat untuk membuktikannya.

Kempen pertama perancang tengah berusia 24 tahun itu dalam kancah profesional adalah sebagai pemain skuad Benfica yang memenangi tiga trofi domestik semusim pertama dalam sejarah bola sepak Portugal pada 2014.

Sebagai pemain remaja, Bernardo hanya beraksi sebagai pemain gantian dalam satu daripada setiap tiga pertandingan - Liga Primeira, Piala Portugal dan Piala Liga Portugal.

Namun, memandangkan jarangnya berlaku kejayaan tiga trofi domestik semusim dalam kancah bola sepak Eropah, hakikat dia hanya perlukan dua kemenangan untuk melakar kejayaan kedua dalam tempoh enam tahun bersama pasukan Pep Guardiola satu pencapaian yang mengagumkan.

BERNARDO membuka tirai jaringan ketika menewaskan Manchester United 2-0 di Old Trafford. — FOTO Agensi
BERNARDO membuka tirai jaringan ketika menewaskan Manchester United 2-0 di Old Trafford. — FOTO Agensi

“Ya, saya tak beraksi secara kerap, saya hanya bermain satu perlawanan dalam setiap pertandingan jadi ia tidak terlalu bermakna seperti keadaan ketika ini,” kata Bernardo mengenai musimnya bersama Benfica.

“Tapi, ya, untuk menang tiga, semua pertandingan domestik, ia terlalu sukar kerana kami bermain dalam satu daripada liga paling kompetitif.”

City boleh muncul pasukan pertama dalam sedekad mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan di Brighton pada hari terakhir liga malam ini, menokok kepada Piala Liga yang dimenangi mereka selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti di Wembley, Februari lalu.

Final Piala FA menyusul menentang Watford yang mana jika menang, bermakna City melengkapkan trofi hatrik yang tidak pernah dilakukan mana-mana pasukan Inggeris dalam semusim.

“Kami bermain menentang pasukan fantastik, terutama musim ini menentang Liverpool yang amat menakjubkan,” ujar Bernardo.

“Ia terlalu sukar buat kami. Harapnya kami boleh menang perlawanan terakhir (malam ini) dan meraikan kejuaraan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 1:34 PM