Bernardo Silva mempunyai musim mengagumkan bersama City.
Bernardo Silva mempunyai musim mengagumkan bersama City.
Agensi

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola mempersoalkan ketiadaan barisan pemainnya dalam senarai pendek bagi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2019.

Bintang Tottenham, Harry Kane dan tonggak Liverpool antaranya Virgil van Dijk, Sadio Mane dan Mohamed Salah antara 10 daripada pemain yang berada dalam senarai itu.

City juara Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Carabao (Liga) musim lalu.

“Mungkin kami harus menang lima atau enam atau mendapatkan 250 mata untuk dipertimbangkan pada musim akan datang,” kata Guardiola.

“Saya tidak fikir ada seorang pemain yang mempunyai musim yang mengagumkan seperti Bernardo Silva musim lalu, termasuk memenangi Liga Negara Eropah bersama Portugal.

“Anugerah ini biasanya apabila kamu memenangi Liga Juara-Juara. Kami berada di kelompok terakhir dan pertandingan lain tidak dikira, tidak begitu penting.”

Barisan kendalian Guardiola juga memenangi Perisai Komuniti 2018 tetapi disingkirkan oleh Spurs pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Pep Guardiola tak puas hati dengan pemilihan senarai pendek bagi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA. FOTO AFP
Pep Guardiola tak puas hati dengan pemilihan senarai pendek bagi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA. FOTO AFP

Tiada pemain Manchester City yang pernah memenangi Anugerah Pemain Terbaik PFA (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional), walaupun pasukan berkenaan menang Liga Perdana dalam empat kejuaraan daripada lapan musim lepas.

Pada 2011-12, bintang Arsenal, Robin van Persie adalah Pemain Terbaik musim itu, dua tahun kemudian pemain Liverpool, Luis Suarez menggondol hadiah berkenaan, dengan yang terbaru Salah dan Van Dijk menang pada 2017-18 dan 2018-19.

“Dalam lapan tahun, menang empat kali Liga Perdana adalah sangat baik,” tambah Guardiola. “Dan tidak ada seorang pemain - tidak David (Silva), tidak Vincent (Kompany), bukan Yaya (Toure) - menang, atau dicadangkan.

“Saya sangat menghormati Mohamed Salah, namun Kevin de Bryune ketika dia berjaya melakukan 100 mata (pada 2017-18) adalah pencapai tinggi dan di luar jangkaan biasa.

“Saya tidak dapat bayangkan Real Madrid dan Barcelona memenangi empat kejuaraan dan tiada seorang pemain pun berada dalam senarai itu.”

Enam pemain City yang berada dalam senarai Pemain Terbaik Tahunan PFA 2018-19 adalah penjaga gol, Ederson, Aymeric Laporte (pertahanan), Fernandinho dan Bernardo Silva (tengah) serta penyerang, Sergio Aguero dan Raheem Sterling.

Senarai penting bagi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA dipilih oleh panel yang terdiri daripada pemain dan pengurus, serta keputusannya akan diumumkan pada satu majlis di Milan yang dijadualkan pada 23 September disusuli undian daripada orang ramai.

Senarai pendek Pemain Lelaki

Frenkie de Jong - Belanda (Ajax, sekarang Barcelona)

Matthijs de Ligt - Belanda (Ajax, sekarang Juventus)

Eden Hazard - Belgium (Chelsea, sekarang Real Madrid)

Harry Kane - England (Tottenham)

Sadio Mane - Senegal (Liverpool)

Kylian Mbappe - France (Paris St-Germain)

Lionel Messi - Argentina (Barcelona)

Cristiano Ronaldo - Portugal (Juventus)

Mohamed Salah - Mesir (Liverpool)

Virgil van Dijk - Belanda (Liverpool)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 12:21 PM