PEMAIN City meraikan kemenangan. FOTO/AFP
PEMAIN City meraikan kemenangan. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Manchester City memecahkan rekod Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi kutipan mata, jumlah jaringan dan kemenangan semusim ketika menewaskan Brighton, awal pagi tadi.

Kemenangan menyaksikan City mengumpul 97 mata berbaki satu perlawanan musim ini dan mengatasi rekod yang sebelum itu dipegang Chelsea iaitu 95 mata ketika musim 2004/05.

City juga sudah memecahkan rekod ledakan gol dengan menjaringkan 105 gol dan memenangi 31 perlawanan pada musim ini setakat ini.

Danilo dan Bernardo Silva masing-masing meledak gol sebelum Leonardo Ulloa merapatkan jurang buat Brighton pada babak pertama.

Begitupun, semangat juang pelawat dimatikan apabila Fernandinho menjaringkan gol ketiga City pada babak kedua.

Pada perlawanan itu, pemain veteran Yaya Toure diberikan peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Stadium Etihad apabila disenarai dalam kesebelasan utama City bagi perlawanan berkenaan.

Pemain tengah Ivory Coast itu diberi penghormatan ketika meninggalkan padang tatkala permainan berbaki lima minit.

Toure, 34, sudah memenangi tiga trofi Liga Perdana Inggeris dan empat kejuaraan piala domestik sepanjang lapan musim di City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 6:30 AM