GUARDIOLA (tengah) masih segar dengan kejayaan Liga Perdana minggu lalu. — FOTO AFP
GUARDIOLA (tengah) masih segar dengan kejayaan Liga Perdana minggu lalu. — FOTO AFP
Reuters

PEP Guardiola ingin muncul pengurus pertama memenangi tiga trofi domestik Inggeris semusim apabila Manchester City menentang Watford pada final Piala FA, Sabtu ini namun rakan senegaranya dari Sepanyol sedia menjadi penghalang.

Pengurus Watford, Javi Gracia mungkin tidak memiliki reputasi sehebat Guardiola namun beliau memukau musim ini apabila mengemudi Hornets menghuni tangga ke-11 Liga Perdana selain final Piala FA kedua mereka dalam sejarah.

Gracia beraksi buat Athletic Bilbao dan Real Sociedad ketika Guardiola mewakili Barcelona sebagai pemain dan seperti bos City itu, beliau bermain di posisi tengah.

Namun ketika Guardiola memulakan karier kejurulatihan dengan Barca, Gracia bekerja di beberapa kelab kurang ternama Sepanyol sebelum beliau berpindah ke England selepas bertugas seketika di kelab Russia, Rubin Kazan.

GRACIA kagum pencapaian Guardiola setakat ini. — FOTO Agensi
GRACIA kagum pencapaian Guardiola setakat ini. — FOTO Agensi

Pengendali berusia 49 tahun itu tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap Guardiola, yang berjaya memenangi kejuaraan Liga Perdana berturut-turut Ahad lalu.

“Pep adalah yang terbaik dalam Liga Perdana. Beliau seorang pengurus yang amat bagus dan kami mempunyai hubungan baik. Saya jarang bercakap dengannya tapi hubungan kami baik walaupun tidak akrab,” katanya.

City mengalahkan Watford dalam dua pertembungan liga musim ini, 2-1 di Vicarage Road Disember lalu dan 3-1 di Etihad, namun Gracia percaya pasukannya membuktikan dalam perlawanan itu mereka mempunyai harapan untuk melakar kejutan di Wembley.

“Kami kalah kedua-dua perlawanan tapi saya fikir kami membuktikan mampu mengalahkan mereka,” katanya.

RAHEEM Sterling (kanan) meledak hatrik membantu City menang 3-1 di Etihad, Mac lalu. — FOTO Agensi
RAHEEM Sterling (kanan) meledak hatrik membantu City menang 3-1 di Etihad, Mac lalu. — FOTO Agensi

“Dalam perlawanan pertama kami kalah 1-2 tapi kami bersaing hingga ke penamat dan mempunyai peluang. Pada aksi kedua kami mengekang mereka hinggalah babak kedua dan kemudian mereka menjaringkan gol menerusi posisi ofsaid dan perlawanan itu berubah. Saya fikir ia membuktikan ia tidak mustahil,” ujar Gracia.

Penampilan tunggal Watford pada final Piala FA adalah 35 tahun lalu apabila mereka tewas 0-2 di tangan Everton. Sebaliknya, City melakukan penampilan ke-11 dan menang pertandingan itu lima kali, terakhir pada 2011.

City menjuarai Piala Liga dengan kemenangan ke atas Chelsea di Wembley Februari lalu dan selepas melengkapkan kejuaraan Liga Perdana dengan kemenangan ke-14 berturut-turut liga di Brighton Ahad lalu, sejarah menanti mereka untuk menjuarai tiga trofi.

“Tiada pasukan di England pernah melakukannya sebelum ini, jadi kami perlu mencabar, bersaing dan fokus terhadap perlawanan ini,” kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 10:10 AM