NICOL kini duduki ranking ke-16 dunia.
NICOL kini duduki ranking ke-16 dunia.
Aida Adilah Mat

HANYA tinggal satu lagi kejohanan buat ratu skuasy negara, Nicol David untuk cuba merangkul kejuaraan terakhir sebelum meninggalkan arena skuasy dunia secara rasminya Jun ini apabila percubaan di Terbuka Manchester terhenti di pusingan kedua, semalam.

Langkah Nicol di Manchester dinafikan pilihan ketiga dari England Sarah-Jane Perry apabila tewas 7-11, 9-11, 11-6, 11-6.

Nicol cuba bangkit dan berjaya mencuri satu set apabila menang set ketiga bagi menghidupkan peluang meneruskan perjuangan namun impiannya musnah apabila tewas 11-6 pada set keempat.

Sarah yang mempamerkan rentak konsisten menewaskan Nicol yang juga juara dunia sebanyak lapan kali itu dalam tempoh 42 minit.

"Apabila saya melihat undian dan Nicol pula sudah mengumumkan persaraan, timbul sedikit kegusaran bermain di fikiran saya. Tapi satu hal yang lain saya gembira dapat bertemu Nicol kerana dia seorang yang hebat dan saya mahu menentangnya buat kali terakhir," kata Sarah.

Kemenangan pemain yang mempunyai ketinggian 183sm itu menyaksikan dia akan bertemu pemain kesembilan dunia, Tesni Evans di pusingan ketiga.

Nicol, 35, dijadualkan beraksi di Terbuka British pada 20 hingga 26 Mei di Hull, kejohanan terakhir sebelum dia menggantung raket secara rasminya Jun ini.

Pemain ranking ke-16 dunia antara pemain yang disegani dan mempunyai rekod cemerlang apabila muncul juara dunia sebanyak lapan kali pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:04 PM