SALAH meraikan kejayaan  Liverpool menewaskan Barcelona di Anfield.
SALAH meraikan kejayaan Liverpool menewaskan Barcelona di Anfield.
Reuters

MOHAMED Salah sedia tampil dalam aksi penentuan juara Liga Perdana menentang Wolverhampton Wanderers pada Ahad ini selepas penyerang Mesir itu kembali pulih daripada kecederaan kepala, menurut pengurus, Juergen Klopp.

Salah terlepas aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona selepas berlaga dengan penjaga gol Newcastle United, Martin Dubravka minggu lalu tetapi kembali berlatih menjelang aksi penamat musim.

Kapten Jordan Henderson dan pertahanan Andy Robertson turut menerima nasib sama ketika menentang Barca tetapi Klopp berharap trio terbabit dapat beraksi Ahad ini.

"Perkataan paling popular dalam bilik persalinan minggu ini adalah ‘sakit sikit sahaja’,” kata Klopp dalam sidang akhbar hari ini.

"Hendo berkata ia sedikit sakit, begitu juga Robbo. Mereka akan pulih. Bobby (Roberto Firmino), tidak untuk aksi hujung minggu ini.

"Mo tampak bagus ketika meraikan kejayaan atasi Barca. Semalam dan kelmarin dia hanya menjalani latihan ringan tetapi hari ini dia akan menjalani latihan penuh.”

Liverpool mesti menewaskan Wolves di Anfield jika mahu menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak 1990 tetapi mungkin menduduki tangga kedua dengan 97 mata jika pendahulu Manchester City menewaskan Brighton and Hove Albion di Stadium Amex.

Klopp kini mengharapkan keajaiban pada Ahad ini tetapi mengakui kelebihan kini berpihak kepada City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 10:40 PM