PEMAIN  Hellas Verona,  Mattia Zaccagni (tengah) menjaringkan gol ketiga di Stadium  Marcantonio Bentegodi.  FOTO AFP
PEMAIN Hellas Verona, Mattia Zaccagni (tengah) menjaringkan gol ketiga di Stadium Marcantonio Bentegodi. FOTO AFP
AFP

Milan: Hirving Lozano menjaringkan gol ketika permainan baru sembilan saat tetapi gagal membantu Napoli yang tewas 1-3 di Hellas Verona bagi membolehkan Juventus mendaki kelompok empat teratas Serie A selepas menewaskan Bologna.

Juventus yang memburu gelaran ke-10 Scudetto berturut-turut menang 2-0 dalam perlawanan awal untuk berada tujuh mata di belakang pendahulu AC Milan dengan kelebihan satu perlawanan.

AC Milan kekal di puncak kelmarin walaupun tewas 0-3 kepada Atalanta manakala Inter di tangga kedua selepas seri tanpa jaringan di Udinese.

Napoli terlepas peluang memintas Juventus dan berada di tangga keenam, dua mata di belakang slot kelayakan Liga Juara-Juara dengan 34 mata, sama dengan Lazio yang menewaskan pesaing Eropah, Sassuolo 2-1.

"Kami perlu salahkan diri sendiri," kata jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso. Jika anda jaringkan gol dan kemudian merosot, ia tidak bagus. Kami mahu kembali ke Liga Juara-Juara tetapi akan gagal jika beraksi seperti ini."

PENJAGA gol Bologna,  Lukasz Skorupski gagal menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi   McKennie. FOTO AFP
PENJAGA gol Bologna, Lukasz Skorupski gagal menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi McKennie. FOTO AFP

Sementara itu, Juventus bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Inter Milan minggu lalu dengan menewaskan pasukan di tangga ke-13 Bologna di Turin sekaligus menghidupkan peluang mempertahankan gelaran.

Pemain tengah Brazil, Arthur memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-15 menerusi rembatan jarak jauh yang terkena pertahanan Bologna, Jerdy Schouten sebelum menerjah jaring.

Ia jaringan pertama bekas pemain Barcelona itu dalam 19 penampilan sejak menyertai Juventus pada musim panas lalu dengan nilai perpindahan 82 juta euro (RM403 juta).

Pemain tengah Amerika Syarikat, Weston McKennie menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 menerusi tandukan hasil sepakan sudut untuk jaringan keempatnya dalam 21 perlawanan sejak berpindah daripada kelab Bundesliga, Schalke.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:44 AM