HIGUAIN (kanan) meledak gol di Stadium Gewiss, awal pagi tadi. — FOTO EPA
HIGUAIN (kanan) meledak gol di Stadium Gewiss, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

GONZALO Higuain meledak dua gol babak kedua untuk membantu Juventus menang 3-1 di Atalanta yang membolehkan juara Serie A Itali itu kekal di puncak awal pagi tadi, sekalipun kemenangan selesa 3-0 Inter Milan di Torino membolehkan mereka terus merapati pendahulu.

Juve kendalian Maurizio Sarri menjaringkan gol lewat di Bergamo untuk memastikan kemenangan selepas Robin Gosens menanduk masuk gol pendahuluan Atalanta pada minit ke-56.

Namun Higuain membalas dengan dua gol dalam tempoh lapan minit sebelum Paulo Dybala meraikan penampilan ke-200 Serie A dengan gol ketiga pada minit pertama masa kecederaan.

Juve kekal satu mata di depan pasukan tangga kedua Inter Milan, yang mengatasi Torino dalam hujan lebat di Turin, ketika Atalanta merudum ke tangga keenam selepas aksi keempat liga tanpa kemenangan.

PENYERANG Inter, Romelu Lukaku (kanan) menyumbat gol ketiga di Stadio Olimpico Grande Torino. — FOTO Reuters
PENYERANG Inter, Romelu Lukaku (kanan) menyumbat gol ketiga di Stadio Olimpico Grande Torino. — FOTO Reuters

“Kami menderita, tapi pada 20 minit terakhir kami memberikan segala-galanya untuk membawa pulang tiga mata,” kata Sarri.

Cristiano Ronaldo terlepas kunjungan ke Bergamo sekalipun menjaringkan empat gol buat Portugal ketika dia memulihkan diri daripada kecederaan lutut menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid.

“Saya harap Cristiano boleh kembali beraksi pada Liga Juara-Juara, Selasa ini (awal pagi Rabu),” kata Sarri.

“Kami cuba menangani masalah lutut yang membelenggunya selama ini. Bermain dengan kesakitan akan memenatkan anda secara psikologi.

“Setakat ini dia berlatih dengan cara yang betul, jadi ia tidak membebankan lututnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 8:06 AM