SKUAD negara bergambar kenangan sebaik tiba di Belgium. — FOTO Facebook Pencak Silat Belgium
SKUAD negara bergambar kenangan sebaik tiba di Belgium. — FOTO Facebook Pencak Silat Belgium
Azrul Affandi Sobry


SERAMAI 16 pesilat negara menjadi pertaruhan mengibarkan Jalur Gemilang pada Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium di Schoten, bermula esok.

Ia kejohanan antarabangsa pertama dihadapi pasukan kendalian jurulatih, Mazlan Shaari dan Nasri Nasir tahun ini bagi mempersiapkan pasukan terbaik menjelang Sukan SEA Filipina, November ini.

Pengurus pasukan Zaihan Mohd Isa berkata, pasukan silat negara perlukan lebih banyak pendedahan, namun setakat ini beliau yakin dengan kemampuan pasukannya menghadapi cabaran meskipun tanpa kelibat ikon silat negara, Al-Jufferi Jamari.

Katanya, berdasarkan persediaan sejak awal tahun ditambah dengan strategi taktikal yang direncana jurulatih, pasukan silat negara dijangka mampu mencapai kejayaan besar di Belgium.

ZAIHAN (kanan), pengurus pasukan silat negara. — FOTO Owee Ah Chun
ZAIHAN (kanan), pengurus pasukan silat negara. — FOTO Owee Ah Chun

“Memang ada beberapa cabaran yang terpaksa kami hadapi terutama dengan kekurangan pertandingan tahun ini tapi pasukan yang dibawa kali ini, kebanyakan mereka cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa.

“Apa pun, kejuaraan di Belgium ini penting bagi jurulatih untuk menilai pesilat kerana ini kejuaraan antarabangsa pertama yang kami sertai tahun ini. Selepas ini, difahamkan pesilat negara akan melalui proses tapisan apabila perlu berdepan juara kebangsaan untuk mewakili negara.

“Berdasarkan semangat yang ditunjukkan pesilat terutama selepas dua hari menjalani latihan ringan di sini, kami yakin mereka mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Mengenai ketiadaan Al-Jufferi pada kejuaraan kali ini, Zaihan berkata, bekas Olahragawan Kebangsaan itu sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan baru-baru ini.

Bagaimanapun bekas Olahragawati Kebangsaan, Siti Rahmah Nasir, berada di Schoten sekali gus menjadi harapan untuk meraih pingat emas.

Malaysia berdepan cabaran getir kerana kejuaraan kali ini disertai 21 pasukan dari seluruh dunia, selain buat kali pertama memperkenalkan kategori silat seni.

Selain pasukan silat negara, dua wasit juri juga turut terpilih mengadili kejuaraan ini iaitu Azrul Affandi Sobry dan Kamarul Ariffin A Latib.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 9:41 PM