GELAGAT Brooks  (kiri)  meraikan jaringan  ketika menentang Eintracht. - FOTO Agensi
GELAGAT Brooks (kiri) meraikan jaringan ketika menentang Eintracht. - FOTO Agensi
AFP

HASRAT Eintracht Frankfurt mencerahkan peluang beraksi di Liga Juara-Juara musim depan terjejas selepas hanya mampu seri 1-1 menentang Wolfsburg di tempat lawan, awal pagi tadi.

Eintracht membuka tirai jaringan pada minit ke-78 menerusi Jonathan De Guzman yang masuk sebagai pemain gantian 10 minit sebelum itu. Pemain dari Kanada itu yang mendapat hantaran dari sebelah kiri tangkas melepasi kawalan Josuha Guilavogui dan mudah menolak bola dari jarak dekat tanpa dapat diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Pavao Pervan.

Eintracht yang akan menentang Chelsea dalam aksi separuh akhir Liga Europa pada Mei depan turut memburu slot Liga Juara-Juara dengan tempat keempat menjadi taruhan. Tetapi ketika kemenangan hampir dalam tangan dan bakal menjarakkan empat mata di atas Borussia Moenchengladach, pertahanan longgar Frankfurt dihukum tuan rumah.

Selepas mereka kehilangan bola di kawasan tengah, Felix Klaus memecut laju di bahagian kanan dan menghantar bola ke John Brooks yang langsung tidak dikawal dalam kotak penalti.

Pertahanan Amerika Syarikat itu dengan mudah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90 sekali gus menceriakan penyokong di Volkswagen Arena.

Keputusan seri itu membolehkan Wolfsburg melonjak ke tangga ke-9, empat mata di belakang Hoffenheim, slot terakhir ke Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 7:57 AM