INSIDEN Costa (tiga kanan) memegang lengan Manzano di Nou Camp, hujung minggu lalu. — FOTO AFP
INSIDEN Costa (tiga kanan) memegang lengan Manzano di Nou Camp, hujung minggu lalu. — FOTO AFP
AFP

JURULATIH Atletico Madrid, Diego Simeone percaya penggantungan lapan perlawanan terhadap Diego Costa kejam dan menolak tanggapan penyerang itu akan dijual pada musim panas ini.

Costa dikenakan penggantungan jangka panjang oleh Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) kelmarin kerana menghina pengadil Gil Manzano pada babak pertama ketika Atletico tewas 0-2 kepada Barcelona hujung minggu lalu.

Manzano, yang mengarahkan Costa keluar padang pada minit ke-28, turut melaporkan Costa memegang lengannya ketika insiden itu.

“Bagi saya, ia kelihatan kejam,” kata Simeone pada sidang media awal pagi tadi.

Hukuman penggantungan itu bermakna Costa tidak akan bermain lagi musim ini ketika Atletico berbaki tujuh perlawanan dalam La Liga selain tersingkir daripada Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara.

Namun Simeone menegaskan Costa masih ada masa depan di kelab itu.

“Sudah tentu ya, anda tahu apa saya fikirkan mengenai Costa,” kata Simeone. “Kami mesti menjaga pemain kami dan dengan Costa, kini lebih daripada biasa.”

Presiden Atletico, Enrique Cerezo mencadangkan kelab itu supaya menentang keputusan itu, namun persekutuan menolak rayuan mereka.

“Jawatankuasa rayuan menolak rayuan dihantar Atletico Madrid pagi ini,” menurut RFEF semalam.

Menurut laporan perlawanan disediakan Manzano, Costa menghina ibunya ketika bertegang leher sebelum “memegang lengan saya untuk menghalang saya daripada melayangkan kad kepada pemain nombor 24 dan 2.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 11:49 AM