Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan, Nuramirah Zulkifli (kanan) cuba mengasak pasukan India, Tete Salima (tengah). FOTO Mahzir Mat Isa.
Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan, Nuramirah Zulkifli (kanan) cuba mengasak pasukan India, Tete Salima (tengah). FOTO Mahzir Mat Isa.
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki wanita negara terlepas peluang untuk melakar kejutan ke atas India apabila mencatat keputusan seri 4-4 pada siri perlawanan ujian ketiga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun ia masih tetap satu persembahan terpuji dipamerkan anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengambil kira status India yang menduduki ranking kesembilan dunia serta terbaik di Asia.

India memberi tekanan di awal permainan dan hasilnya mereka di depan menerusi gol padang Navjot Kaur minit ke-13.

Navneet Kaur menambah gol kedua selepas menyempurnakan penalti stroke minit ke-22 selepas bola terkena kaki pemain negara yang berada di kedudukan paling belakang ketika pukulan sudut penalti.

Namun skuad negara memperkemaskan rentak permainan selepas itu dan Kirandeep Kaur akhirnya berjaya membolosi gawang India hasil jaringan padang minit ke-26.

Seminit kemudian Nuraini Rashid berjaya menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Bersambung separuh masa kedua, skuad negara di depan buat kali pertama menerusi Nuramirah Zulkifli minit ke-35 hasil pukulan sudut penalti sebelum Nuraini menambah gol keempat minit ke-38, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Namun tujuh minit kemudian Navneet Kaur merapatkan jurang menerusi gol padang sebelum Lalremsiami menyamakan kedudukan minit ke-54.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 10:26 PM