PENYERANG Kedah, Fernando Rodriguez (kanan) terjatuh ketika diasak pemain TFC, Nasrullah Haniff Johan, malam tadi. — FOTO Amran Hamid
PENYERANG Kedah, Fernando Rodriguez (kanan) terjatuh ketika diasak pemain TFC, Nasrullah Haniff Johan, malam tadi. — FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


PENOLONG jurulatih Kedah, Victor Andrag mengakui beliau berasa tertekan mengendalikan pasukan ketika ketiadaan ketua jurulatih Aidil Sharik Sahak yang menjalani kursus kejurulatihan AFC di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tekanannya agak reda selepas Kedah mempamerkan kebangkitan untuk menundukkan Terengganu FC 3-0 pada aksi Liga Super di laman sendiri, malam tadi.

“Sebenarnya saya juga tertekan kerana ini pengalaman pertama saya memegang tanggungjawab penting bersama pasukan senior.

“Namun melihat kemampuan semua pemain seperti yang mereka tunjukkan semasa latihan, dalam dan luar padang, membuatkan saya yakin kami mampu melakar kejayaan.

BAUMAN (kanan) meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan. — FOTO Amran Hamid
BAUMAN (kanan) meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan. — FOTO Amran Hamid

“Saya harap dengan motivasi menerusi kebangkitan ini dapat meneruskan rentak konsisten untuk menempuh aksi seterusnya.”

Victor menegaskan komitmen tinggi serta keazaman kuat untuk kembali bangkit mencipta kemenangan menjadi antara faktor kejayaan mereka membenam TFC di Stadium Darul Aman.

“Kami cuba buat yang terbaik malam ini berbanding sebelumnya dan pemain dapat mencipta serta memanfaatkan peluang sebaik mungkin dan akhirnya kami berjaya meraih tiga mata,” katanya selepas Kedah sebelum ini gagal menang dalam empat perlawanan terakhir.

Kedah mengatasi TFC 3-0 menerusi jaringan Jonatan Bauman (m-25), Zaquan Adha Radzak (m-32) dan Fernando Rodriguez (m-72). Mereka kini di tangga ketiga dengan 15 mata, tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 12:32 PM