Penyerang Sabah, Aguinaldo Policarpo Mendes (kanan) dikawal rapi pemain Pertahanan Pahang Herold Mark Goulon (kiri) pada aksi Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FA
Penyerang Sabah, Aguinaldo Policarpo Mendes (kanan) dikawal rapi pemain Pertahanan Pahang Herold Mark Goulon (kiri) pada aksi Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FA
Ryan Stanley


PAHANG mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan C saingan Piala Malaysia dengan menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Skuad Tok Gajah tidak menunggu lama untuk memperolehi gol pertama selepas penyerang berbisa mereka, Dickson Nwakaeme, berjaya melepasi kawalan Park Taesu sebelum melakukan penyudah baik di minit pertama bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Sabah hampir memperolehi gol penyamaan pada minit ke-16 namun rembatan Alto Linus yang terkena pertahanan lawan berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Aksi separuh masa pertama juga menyaksikan skuad Tok Gajah menguasai permainan dengan beberapa serangan bahaya dan berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-34 menerusi Lazarus Kaimbi.

Babak kedua menyaksikan, Sabah yang ketinggalan dua gol bermula garang dengan beberapa serangan bahaya, namun, kekebalan Herold Mark Goulon di bahagian pertahan berjaya menidakkan cubaan tuan rumah untuk memburu gol.

Bagaimanapun, penyerang import Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga, akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-53 apabila rembatannya yang tidak dikawal terus menewaskan Helmi bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan tampil menerusi beberapa percubaan berbahaya namun gagal menggegar jaring gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 10:22 PM