KRZYSZTOF Piatek. FOTO EPA
KRZYSZTOF Piatek. FOTO EPA
 AFP

CRISTIANO Ronaldo akan kembali memberi tumpuan kepada kehebatannya di atas padang apabila Juventus melayan kunjungan Genoa dalam aksi Serie A esok, sebelum kunjungan ke bekas kelabnya Manchester United untuk perlawanan Liga Juara-Juara minggu depan.

Ronaldo yang diselubungi dakwaan rogol oleh Kathryn Mayorga dari Amerika Syarikat (AS), mengetepikan masalahnya itu untuk menjaringkan gol ke atas Udinese sebelum rehat antarabangsa.

Jaringan itu sekali gus mengekalkan rekod 100 peratus Juventus selepas lapan perlawanan.

 

Ronaldo, 33, menafikan dakwaan berkenaan, namun dia dipinggirkan daripada skuad Portugal yang menang 3-1 ke atas Scotland pada aksi persahabatan bulan ini, dan kemenangan 3-2 ke atas Poland di saingan Liga Negara-Negara Eropah.

Juventus turut berdiri teguh di belakang bintang mereka itu yang dalam usaha membantu juara bertahan Itali mengekalkan kelebihan enam mata ke atas Napoli yang berada di tangga kedua liga.

“Gol, derita, air mata dan kes di AS – 100 hari pertama di Juventus,” kata akhbar Gazetta dello Sport berkenaan pemain baharu yang ditandatangani Juventus dari Real Madrid itu.

 

Ronaldo kembali berlatih seperti biasa sebagai persediaan menghadapi Genoa, yang kini di tangga ke-11, tetapi menampilkan penjaring terbanyak Eropah musim ini – Krzysztof Piatek dari Poland.

Penyerang 23 tahun itu sudah menjaringkan sembilan gol dalam tujuh perlawanan untuk Genoa- kurang satu perlawanan, berbanding Ronaldo pada empat gol.

“Cristiano Ronaldo adalah pemain terbaik dunia sekarang dan bagi saya dia adalah yang paling hebat pernah wujud,” kata Piatek.

“Saya ingin memberikan jersi saya kepada Ronaldo dan mungkin mendapatkan jersinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 7:28 PM