Belotti (kiri) menghasilkan dua gol buat Torino ketika berdepan AC Milan. FOTO EPA
Belotti (kiri) menghasilkan dua gol buat Torino ketika berdepan AC Milan. FOTO EPA
AFP

DUA gol pantas dalam separuh masa kedua yang dihasilkan kapten Torino, Andrea Belotti memastikan kemenangan 2-1 ke atas AC Milan dalam saingan Serie A, awal pagi ini.

Penyerang Poland, Krzysztof Piatek meletakkan AC Milan di depan menerusi penalti pada minit ke-18 dalam pertembungan dua pasukan pertengahan liga di Stadium Olympic itu.

Namun dalam tempoh empat minit, Belotti mengesahkan tiga mata buat skuad kendalian Walter Mazzarri yang mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam dua perlawanan sebelum ini.

Torino melonjak di kedudukan keenam liga, mempunyai enam mata menyamai Napoli dan Cagliari selepas lima perlawanan namun enam mata di belakang pendahulu, Inter Milan.

AC Milan jatuh ke kedudukan ke-13 selepas kekalahan berdepan tetangganya, 2-0 hujung minggu lalu.

“Kami tidak mahu kalah buat kali ketiga berturut-turut,” kata Belotti.

“Mereka menyukarkan kami pada babak pertama namun apabila kami kembali selepas rehat, kami adalah pasukan berbeza.”

Kedua-dua pencabar dari utara Itali itu terdesak untuk kembali mencatat kemenangan dengan Milan di depan selepas diberikan penalti apabila Lorenzo De Silvestri mengasari Rafael Leao.

Piatek (tiga kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
Piatek (tiga kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA

Piatek – penjaring ketiga terbanyak Serie A musim lalu dengan 22 gol – menyempurnakan penalti itu.

Milan terlepas dua peluang menjaringkan gol di penghujung babak permainan menerusi Franck Kessie yang menanduk bola melepasi palang gol manakala tandukan Piatek berjaya diselamatkan penjaga gol Torino, Salvatore Sirigu.

“Ia perlawanan dikuasai kami, tetapi kami gagal memanfaatkan peluang untuk memastikan kemenangan berpihak pada kami,” kata jurulatih Milan Marco Giampaolo. “Jelas sekali kekalahan ini merentap semangat kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 8:05 AM