PIATEK sudah menyumbat 14 gol dalam 10 perlawanan kompetitif bersama skuad negara. FOTO/AGENSI
PIATEK sudah menyumbat 14 gol dalam 10 perlawanan kompetitif bersama skuad negara. FOTO/AGENSI
AFP

MILAN: Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis mengesahkan pihaknya sudah menghubungi pencabar Serie A, Genoa mengenai potensi untuk menandatangani penyerang Poland, Krzysztof Piatek.

Pemain antarabangsa Poland berusia 23 tahun itu sudah meledak sembilan gol dalam kempen liga, sejak tiba di Genoa dari kelab Cracovia, musim panas lalu dengan nilai 4 juta euro (RM19.26 juta).

Bersama Cracovia, Piatek menjaringkan 21 gol dalam 36 perlawanan Liga Poland musim lalu.

“Saya sudah bercakap mengenai Piatek, kedua-duanya dengan (Presiden Genoa Enrico) Preziosi dan ejennya,” kata De Laurentiis dalam satu majlis untuk kelabnya.

“Kami akan bertemu sekali lagi, tetapi saya akan memberikan ruang kepada jurulatih kami (Carlo Ancelotti), saya tidak mahu tergesa-gesa dan saya tidak mahu terbabit dalam bidaan.

“Tanpa mengambil apa-apa daripada Piatek, kami perlu melihat jika dia boleh bermain dengan baik dengan apa yang sudah kami sediakan seperti dia lakukan di Genoa.”

Piatek yang sudah menyumbat 14 gol dalam 10 perlawanan kompetitif bersama skuad negara dan kelab turut menarik minat kelab England, Chelsea dan gergasi Sepanyol, Barcelona selain pencabar Serie A termasuk Napoli, Roma, Inter Milan dan Juventus.

Harga yang diletakkan kepada pemain itu kini dijangka setinggi 50 juta euro (RM240.75 juta).

Napoli yang ketika ini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Serie A, Juventus selepas mengharungi lapan perlawanan akan membuat kunjungan ke Udinese, Sabtu ini.

Dalam kempen Liga Juara-Juara, mereka turut menghuni tangga teratas kumpulan dengan kelebihan satu mata di atas Paris Saint-Germain dan Liverpool selepas dua perlawanan termasuk menewaskan finalis musim lalu itu di Naples.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 10:38 AM