OLTMANS  memantau sesi latihan pemain kebangsaan.
OLTMANS memantau sesi latihan pemain kebangsaan.
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans berharap edisi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh kali ini akan memihak kepada anak buahnya dalam usaha untuk melakar sejarah muncul juara kejohanan jemputan tertua itu buat kali pertama.

Malah Oltmans berharap, andai dapat melakar kejayaan di kejohanan yang berlangsung dari 23 hingga 30 Mac itu, ia pasti memberi suntikan tambahan kepada barisan pemainnya untuk menghadapi Pusingan Akhir Siri FIH yang bermula 26 April depan di Kuala Lumpur.

“Yang lebih penting untuk kami ialah dengan meraih kemenangan pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah kali ini akan membuktikan bahawa kami kini berada di landasan tepat menuju ke kejohanan lebih besar iaitu Pusingan Akhir Siri FIH pada bulan depan.

“Bukan bermakna Piala Sultan Azlan Shah tidak penting tetapi pendekatan kedua-dua kejohanan ini sudah pasti agak berbeza kerana keutamaan tentunya di Pusingan Akhir Siri FIH. Tapi saya tetap mahu pemain beraksi pada tahap terbaik.

“Jika pemain berjaya bermain pada tahap yang ditetapkan, kemungkinan untuk kami pulang dengan pingat pastinya cerah atau mungkin keputusan yang lebih baik akan dicapai,” katanya.

Untuk memenuhi impian itu, Otlmans tetap berani mempertaruhkan beberapa muka baharu iaitu Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran dan penjaga gol sedang meningkat naik, Muhamad Zaimi Mat Deris.

“Kami sudah melalui kem latihan yang cukup baik di Kuantan baru-baru ini dan pemain baharu yang dipilih sememangnya layak diberikan peluang untuk mereka membuktikan kebolehan beraksi di pentas antarabangsa.

“Ia satu suasana yang cukup baik apabila dapat melihat tujuh pemain berbeza daripada skuad Piala Dunia 2018 beraksi di Piala Sultan Azlan Shah kali ini termasuk dua pemain muda Arif Syafie dan Azrai Aizad.

“Mereka (Arif dan Azrai) membuktikan kemampuan mereka ketika sesi kem latihan dan saya melihat dua pemain muda ini mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.

Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang meninggalkan skuad negara secara mengejut Julai tahun lalu sebelum dipanggil semula dalam senarai 28 pelatih turut tersenarai untuk membarisi senarai 18 pemain terbaik ke Ipoh.

Sementara itu, ketiadaan kapten negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib ekoran kecederaan menyaksikan Oltmans akan menggunakan sistem pengiliran tugas selaku kapten.

Tiga pemain yang terbabit dengan tugas itu ialah Muhammad Razie Abd Rahim, Mohd Fitri Saari dan Meor Muhamad Azuan Hassan.

Selain skuad negara, lima lagi pasukan yang bakal beraksi pada edisi kali ini ialah India, Jepun, Korea Selatan, Kanada dan Poland yang menggantikan Afrika Selatan di saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 6:01 AM