BARISAN  pemain negara bersama Oltmans sebelum ke Ipoh hari ini.
BARISAN pemain negara bersama Oltmans sebelum ke Ipoh hari ini.
Saiful Affendy Sapran

SEPERTI dijangka, ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans membuat keputusan berani menyenaraikan empat muka baharu untuk menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah dari 23 hingga 30 Mac ini di Ipoh.

Menerusi senarai 18 pemain yang diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini, empat pemain berkenaan ialah Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran dan penjaga gol sedang meningkat naik, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang meninggalkan skuad negara secara mengejut Julai tahun lalu sebelum dipanggil semula dalam senarai 28 pelatih turut tersenarai untuk membarisi senarai 18 pemain terbaik ke Ipoh.

Sementara itu, ketiadaan kapten negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib ekoran kecederaan menyaksikan Oltmans akan menggunakan sistem pengiliran tugas selaku kapten.

Tiga pemain terbabit dengan tugas itu ialah Muhammad Razie Abd Rahim, Mohd Fitri Saari dan Meor Muhamad Azuan Hassan.

Selain skuad negara, lima lagi pasukan yang bakal beraksi pada edisi kali ini ialah India, Jepun, Korea Selatan, Kanada dan Poland yang menggantikan Afrika Selatan di saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 12:34 PM