SKUAD hoki kebangsaan gigih menjalani latihan di bawah kendalian Oltmans. FOTO FB MHC
SKUAD hoki kebangsaan gigih menjalani latihan di bawah kendalian Oltmans. FOTO FB MHC
Saiful Affendy Sapran


ROELANT Oltmans tidak akan membiarkan jadual skuad negara kosong selepas kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang sepatutnya berlangsung April depan di Ipoh ditangguhkan ke 24 September hingga 3 Oktober berikutan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Pengendali skuad hoki negara itu menegaskan barisan pemainnya akan tetap melalui jadual yang padat dengan beberapa perlawanan ujian sedang diatur membabitkan lawan berkualiti.

"Kami sedang berhubung dengan beberapa negara untuk memenuhi jadual pada April tetapi setakat ini masih belum ada sebarang pengesahan lagi.

Kemudian skuad negara akan beraksi beberapa perlawanan ujian bertemu New Zealand pada Jun di Kuantan dan seterusnya beraksi di satu kejohanan di Sepanyol membabitkan tuan rumah, Jerman, Perancis dan Ireland," katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan.

Jelas pengendali dari Belanda itu, penangguhan Piala Sultan Azlan Shah turut dilihat dari sudut positif kerana beliau dapat mempersiapkan pasukan dengan lebih baik dan menilai kemampuan beberapa pemain baharu.

Oltmans turut mengesahkan daripada 34 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat, lapan daripadanya sudah dilepaskan ke pasukan remaja di bawah bimbingan Wallace Tan.Ia sebagai persiapan menghadapi Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh dari 4 hingga 12 Jun yang juga kempen kelayakan ke Piala Dunia Remaja di India pada 2021.

Lapan pemain yang dimaksudkan ialah Muhammad Nur Asyraf Ishak, Muhammad Arif Syafie Ishak, Shello Silverius, Arif sabron, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Muhammad Nor Firdaus Rosdi dan Muhammad Amirul Hanif Mamat.

"Kesemua lapan pemain ini masih lagi berada dalam senarai 34 pemain tetapi saya melepaskan mereka buat sementara. Jika ada yang tidak terpilih untuk ke Piala Remaja Asia, mungkin saya akan memanggil mereka semula untuk menjalani latihan bersama skuad senior," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 12:26 PM