Fran Escriba banyak pengalaman dalam La Liga. FOTO Agensi.
Fran Escriba banyak pengalaman dalam La Liga. FOTO Agensi.
Reuters

PASUKAN yang bergelut dalam saingan La Liga, Celta Vigo melantik bekas jurulatih Getafe dan Villarreal, Fran Escriba sebagai jurulatih baru selepas memecat Miguel Cardoso susulan kekalahan di Eibar, Ahad lalu.

"Fran Escriba adalah jurulatih baru Celta Vigo selepas kelab bersetuju dengan perjanjian dengannya,” menurut kenyataan laman rasmi kelab itu.

Escriba pernah bertugas sebagai pembantu jurulatih di Getafe, Valencia, Benfica dan Atletico Madrid, sebelum dilantik ketua jurulatih di Elche yang menyaksikan pasukan itu berada dalam kelompok pasukan teratas pada musim pertama di bawah kendaliannya.

Dia dilantik sebagai jurulatih di Getafe pada 2015 tetapi dipecat pada tahun berikutnya dan menyertai Villarreal yang menduduki tempat ke lima dalam La Liga sebelum hilang pekerjaannya musim berikutnya,

Escriba secara rasmi sebagai jurulatih Celta pada Isnin, manakala perlawanan pertama sebagai jurulatih adalah berdepan Real Betis di gelanggang sendiri, Ahad depan.

Dia adalah jurulatih ketiga yang mengambil alih Celta untuk musim ini. Pengendali Argentina, Antonio Mohamed memulakan kempen bersama kelab itu tetapi dilepaskan daripada tugasnya pada November lalu dan digantikan dengan jurulatih Portugal, Cardoso.

Cardoso disingkirkan kurang daripada empat bulan selepas dilantik susulan kekalahan 1-0 kepada Eibar iaitu kekalahan kelapan dalam 10 perlawanan. Pasukan itu berada satu tangga serta dua mata yang memisahkan mereka dengan pasukan dalam kelompok penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 10:58 PM