REAKSI  Arrizabalaga ketika diminta keluar oleh Sarri. - FOTO Agensi
REAKSI Arrizabalaga ketika diminta keluar oleh Sarri. - FOTO Agensi
Reuters

CHELSEA mendenda penjaga gol, Kepa Arrizabalaga seminggu gaji selepas insiden keengganannya digantikan pemain lain pada aksi final Piala Liga menentang Manchester City di Wembley, kelmarin.

Arrizabalaga tampak mengalami kecederaan ketika menafikan percubaan Sergio Aguero pada lewat masa tambahan dan pengurus Maurizio Sarri mengarahkan dia digantikan sebelum Chelsea tewas melalui penentuan penalti 4-3.

Tetapi ketika penjaga gol gantian Chelsea, Willy Caballero bersedia untuk masuk, Kepa berkeras meneruskan permainan sekali gus menimbulkan kemarahan Sarri.

Bagaimanapun, jurulatih dari Itali itu berkata selepas tamat perlawanan, insiden itu hanyalah salah faham besar kerana dia menyangka Arrizabalaga menghadapi masalah kekejangan.

Semalam, Arrizabalaga meminta maaf kepada Sarri, rakan sepasukan, penyokong dan Chelsea pula mengambil tindakan dengan menjatuhkan hukuman denda di atas tindakannya itu.

"Kelab mengambil keputusan mendenda Kepa seminggu gaji dan mendermakannya kepada Chelsea Foundation," kata jurucakap kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 11:17 AM