KEPA ARRIZABALAGA
KEPA ARRIZABALAGA
Reuters

PENGENDALI Chelsea Maurizio Sarri mengambil pendekatan ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ selepas penjaga gol yang dipanggil kembali Kepa Arrizabalaga mempamerkan aksi membanggakan ketika menewaskan Fulham 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Seminggu selepas insiden keengganan Arrizabalaga untuk digantikan pada final Piala Liga yang menyebabkan Chelsea tewas kepada Manchester City yang mencetuskan kemarahan Sarri, penjaga gol muda itu kembali dihambur pujian pengendali Itali itu hasil aksi cemerlangnya di Craven Cottage.

“Dia bermain dengan baik, ia satu keputusan yang normal (untuk membawanya kembali,” kata Sarri ketika Chelsea kini dua mata menghampiri tangga keempat dalam perburuan tiket ke Liga Juara-Juara.

“Dia melunaskan ‘hutangnya’ dengan kelab dan pasukan, kini semuanya sudah selesai. Tiada cara lain tetapi saya fikir Kepa seorang lelaki budiman. Dia faham dan memberi reaksi dengan sangat baik.”

MAURIZIO SARRI
MAURIZIO SARRI

Sebagai hukuman terhadap keingkarannya di Wembley, Sarri menggugurkan Arrizabalaga dalam perlawanan berikutnya yang menyaksikan mereak menewaskan Tottenham Hotspur.

Malah pemain Sepanyol itu yang turut meminta maaf kepada kelab dan rakan sepasukannya turut didenda dengan bayaran seminggu gaji.

“Saya bercakap dengannya sepanjang minggu itu dan dia faham,” kata Sarri.

“Latihannya cukup bagus dan reaksinya hari ini amat baik. Saya mengenalinya, dia seorang yang baik. Dia melakukan kesilapan dan cukuplah setakat itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 8:59 AM