MAURICIO POCHETTINO
MAURICIO POCHETTINO
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak gembira melihat pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris menerusi sepakan penalti selepas penggunaan pengadil bantuan video (VAR).

Harry Kane menjaringkan gol tunggal untuk kelab London itu di Wembley pada minit ke-26 selepas pengadil, Michael Oliver melihat ulang tayang VAR.

Chelsea menyatakan Kane berada dalam kedudukan ofsaid sebelum dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Ia mengambil masa 90 saat untuk VAR mengesahkan Kane berada di kedudukan yang tepat sebelum Oliver menghadiahkan sepakan penalti.

“Saya tidak suka VAR. Hari ini kami memperoleh manfaat daripadanya selepas menyaksikan di Piala Dunia dan saingan lain seperti La Liga saya lihat mereka tidak begitu gembira apabila mula menggunakannya.

“Tapi saya tidak suka meraih kemenangan dengan cara ini,” kata pengendali dari Argentina itu.

“Saya terbuka kepada teknologi tapi dalam konteks yang berbeza. Kami perlu bersetuju dengan perkara ini. Tapi bila setiap minggu saya saksikan saingan La Liga, mereka nampak tidak gembira, baik kelab gergasi atau kelab kecil.

“Kami mempunyai tempoh selama enam bulan untuk memperbaiki sistem ini dan banyak yang perlu kami lakukan.”

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menyatakan Kane berada di posisi ofsaid dan mempersoalkan mengapa VAR digunakan dalam Piala Liga tetapi tidak bagi saingan Liga Perdana.

“Saya menyaksikan ulang tayang video itu. Ia jelas ofsaid,” kata Sarri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 2:17 PM