SAFIQ (tengah) gesa rakan sepasukan fokus sepenuhnya di Larkin.
SAFIQ (tengah) gesa rakan sepasukan fokus sepenuhnya di Larkin.
Nazri Abu Bakar

PEMAIN berpengalaman Melaka United (MU), Safiq Rahim menganggap aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin, Sabtu ini amat mencabar buat skuad berkenaan.

Baginya, berdepan lawan hebat yang memiliki reputasi gah di kancah Liga Malaysia itu nyata ujian getir buat skuad Hang Tuah yang mengimpikan kutipan mata berharga di gelanggang lawan.

Menurutnya, beraksi di depan penyokong tuan rumah antara faktor yang memberi sedikit tekanan kepada barisan pelawat, namun ia bukan halangan untuk berusaha gigih mengejutkan skuad Harimau Selatan.

"Walaupun memiliki banyak pengalaman bermain bersama mereka, namun ia bukan kelebihan buat saya untuk mengetahui kelemahan dan kekuatan mereka.

"Selepas tidak lagi bersama pasukan terbabit musim ini, mereka dilihat tampil amat berbeza. Secara jelas musim ini JDT memiliki keistimewaan tersendiri, begitu juga musim lalu dan sebelumnya. Justeru hanya fokus sepenuh jiwa mampu membentuk rangkaian lebih efektif," katanya yang beraksi bersama JDT pada 2013-2018.

Beliau berkata, hanya sentuhan terakhir di gelanggang bakal menentukan pemenangnya Sabtu ini walaupun mengakui ada jurang membezakan skuad JDT dan MU.

Safiq berkata, rakan sepasukannya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi ujian sebenar selepas skuad Hijau Putih memperoleh keputusan baik selepas tiga perlawanan awal, termasuk ketika mengikat Pahang 1-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, minggu lalu.

Justeru, dia mengharapkan persembahan kali ini juga menunjukkan lebih banyak peningkatan positif untuk memberi tekanan kepada lawan.

Bekas kapten kebangsaan itu berkata, jika tidak memperoleh tiga mata maksimum setidak-tidaknya MU harus meraih satu mata cukup bernilai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:32 PM