FERNANDEZ (kiri) berebut bola dengan pemain Perlis, Azmi Muslim pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, malam ini. - FOTO Hairul Anuar Rahim
FERNANDEZ (kiri) berebut bola dengan pemain Perlis, Azmi Muslim pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, malam ini. - FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Fahmi Mohd Yusof


BINTANG import dari Argentina, Nico Fernandez memastikan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) meraih kemenangan ketiga berturut-turut Liga Perdana apabila meledak gol kemenangan pada minit terakhir di Pasir Gudang, malam ini.

Jaringan pada minit ke-90 itu menyaksikan JDTII mengatasi pasukan bermasalah Perlis 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang sekali gus kekal di puncak liga dengan rekod 100 peratus.

Sesudah terikat tanpa jaringan ketika rehat, tuan rumah memecah kebuntuan apabila sepakan Bruno Soares menemui sasaran pada minit ke-72.

Bagaimanapun, Perlis kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid menyamakan kedudukan empat minit sebelum tamat apabila rembatan kencang import dari Perancis, Kevin Osei menerjah jaring.

Perlis, yang dibelenggu masalah tunggakan gaji, mengancam seawal minit ke-15 apabila sepakan percuma bekas penyerang kebangsaan Safee Sali terkena palang penjuru kiri gol.

Keputusan itu membolehkan JDTII menerajui Liga Perdana dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan diikuti UiTM FC di tangga kedua dengan enam mata. Terengganu FC II, yang beraksi dua perlawanan, di tangga ketiga dengan enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 11:46 PM