Pemain JDTII,  Darren Yee Deng Lok (kiri) diasak pemain Sarawak, Mohd Badrul Hisham Mohd Hussien pada perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Pemain JDTII, Darren Yee Deng Lok (kiri) diasak pemain Sarawak, Mohd Badrul Hisham Mohd Hussien pada perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim II (JDTII) gagal mempertahankan kedudukan di tangga teratas liga selepas sekadar seri 1-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Bagaimanapun skuad kendalian Ervin Boban masih gah mempertahankan rekod tanpa kalah selepas mengharungi enam perlawanan.

Aksi kedua-dua pasukan itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Pasir Gudang tetapi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memindahkan perlawanan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini selepas insiden pencemaran sisa toksid yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Minit ke-10 tuan rumah berada di depan berpunca daripada bola umpanan Amirulhadi Zainal membuka ruang buat Lucas Ontivero yang sempat menggelecek pertahanan pelawat sebelum merembat bola kencang menewaskan penjaga gol, Andy Nicholas Nipen.

Babak kedua permainan, pelawat tampak menguasai perlawanan dan hampir menyamakan jaringan pada minit ke-47 namun bola sepakan lencong Mohamad Alif Hassan terkena palang gol ketika Haziq sudah tertewas.

Haziq terpaksa bekerja keras dalam perlawanan itu selepas kerap mengawal gawang bagi menghalang beberapa percubaan berbahaya pelawat yang bertali arus mengasak ke kubu tuan rumah yang dikawal gandingan Bruno Soares dan Kiko Insa tampak begitu rapuh.

Pada minit ke-70 tindakan Haziq menjatuhkan kapten Bobby Gonzales menyaksikan pengadil, Abdul Rahman Wahab tidak teragak-agak memberi sepakan penalti dan Hudson Dias mudah menyepak masuk untuk meletak kedudukan seri 1-1 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 11:44 PM