ELAVARASAN (kanan) ketika mengendalikan sesi latihan PKNS FC pada 2017.
ELAVARASAN (kanan) ketika mengendalikan sesi latihan PKNS FC pada 2017.
Meor Riduwan Meor Ahmad

"PERLU berlebih kurang," ujar bekas jurulatih FELDA United FC, E Elavarasan mengenai segelintir pengendali kelab dan pasukan yang enggan melepaskan pemain untuk menyarung jersi skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) .

Beliau yang juga pernah mengendalikan PKNS FC dan Melaka United berkata, sikap begitu katanya perlu dielakkan kerana sokongan kepada pasukan kebangsaan sewajarnya diutamakan.

"Perkara ini bergantung kepada persatuan atau kelab kerana mereka yang menggajikan pemain terbabit. Namun, apabila membabitkan pasukan kebangsaan, ia bergantung kepada peraturan ditetapkan sesebuah pasukan sama ketika mengambil pemain.

"Sebagai rakyat Malaysia semestinya kita mahu mereka (pemain) bermain untuk pasukan negara. Ia patut diutamakan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lima pemain iaitu Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah), Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) yang dipanggil Datuk Ong Kim Swee untuk latihan pusat B-22 didakwa tidak dilepaskan pasukan masing-masing.

Antara alasan utama diberikan pasukan adalah mereka tidak wajib melepaskan pemain kerana kejohanan yang disertai skuad negara di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Elavarasan berkata, beliau umumnya percaya semua pasukan sedia menyokong pasukan kebangsaan.

"Namun,ada kala bergantung kepada kesesuaian masa, sama ada sesuatu perlawanan itu boleh ditangguhkan bagi membolehkan pemain menyertai latihan skuad kebangsaan.

"Banyak penyesuaian yang boleh dibuat, terpulang kepada kebijaksanaan mereka berunding dengan pengurusan syarikat.

"Selain itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkemampuan menyelesaikan isu ini," katanya yang kini sedang mengikuti program kejurulatihan Pro A.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 10:00 PM