HAMSIK padam rekod Maradona sebagai penjaring gol terbanyak Napoli. - FOTO Agensi
HAMSIK padam rekod Maradona sebagai penjaring gol terbanyak Napoli. - FOTO Agensi
AFP

NAPOLI membatalkan penjualan penjaring gol terbanyak mereka Marek Hamsik ke kelab Liga Super China.

Hamsik dilaporkan sedia berpindah ke Dalian Yifang dengan pemain kebangsaan Slovakia itu sudah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya selepas beraksi 11 tahun di kelab Serie A itu.

Namun Napoli menegaskan mereka membatalkan perjanjian itu kerana masalah dengan ‘cara pembayaran’ yang dipersetujui, tanpa mengumumkan nama kelab China itu.

“Napoli memutuskan untuk membatalkan penjualan Marek Hamsik ke China kerana cara pembayaran mengenai jumlah yang dipersetujui tidak seiring dengan apa yang diputuskan sebelum ini,” umum kelab Itali itu dalam Twitter.

Hamsik menyertai Napoli dari kelab Itali, Brescia pada 2007 dan sudah melakukan lebih 520 penampilan bersama pasukan itu.

Pemain tengah berusia 31 tahun itu menyumbat 121 gol buat kelab selatan itu sekali gus mengatasi rekod pemain legenda Diego Maradona (115) musim lalu sebagai penjaring gol terbanyak kelab sepanjang zaman.

“Ada rundingan berlangsung, kami perlu menilainya bersama pemain,” kata jurulatih Carlo Ancelotti hujung minggu lalu.

“Napoli amat menghormati Hamsik kerana dia melakar rekod, tapi jika dia mahukan pengalaman baru, kami sedia membuatkannya berasa gembira.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 12:31 PM