MERTENS (kanan) menanduk masuk gol penyamaan Napoli di Stadio San Paolo. — FOTO Reuters
MERTENS (kanan) menanduk masuk gol penyamaan Napoli di Stadio San Paolo. — FOTO Reuters
AFP

DRIES Mertens mengatasi pemain legenda kelab Diego Maradona bagi senarai penjaring gol terbanyak Napoli dalam Serie A selepas meledak gol ke-82 ketika menang 2-1 ke atas Cagliari sekali gus memastikan tangga kedua musim ini.

Penyerang Belgium itu menanduk masuk gol penyamaan selepas 85 minit di Naples untuk mengatasi catatan bintang Argentina, Maradona, yang menjaringkan 81 gol liga dari 1984 hingga 1991.

Mertens kini penjaring gol ketiga terbanyak Serie A dalam sejarah kelab itu, di belakang Antonio Vojak, yang merakam rekod 102 gol liga dari 1929 hingga 1935 dan pemain Slovakia, Marek Hamsik, yang meraih 100 gol sebelum berpindah ke China musim ini.

“Saya amat gembira mengatasi rekod Maradona dan menjadi sebahagian daripada sejarah Napoli,” kata Mertens, 31, yang tiba di kelab selatan Itali itu pada 2013 dari PSV Eindhoven. “Kami patut berbangga dengan tangga kedua.

MERTENS (kanan) mengumpul 107 gol buat Napoli dalam semua pertandingan. — FOTO EPA
MERTENS (kanan) mengumpul 107 gol buat Napoli dalam semua pertandingan. — FOTO EPA

“Masa depan? Jika saya mahu menjaringkan gol di Itali saya perlu kekal. Saya sering menyatakan berasa seronok di sini, saya mempunyai kontrak tahun depan dan saya amat gembira untuk kekal di sini.”

Hamsik meledak gol terbanyak dalam semua pertandingan buat Napoli dengan 121, diikuti Maradona 115 dengan Mertens kini berkongsi tangga ketiga dengan 107 gol bersama Attila Sallustro.

Mertens berkata, dia seronok bermain di bawah kendalian Carlo Ancelotti yang mengambil alih daripada Maurizio Sarri musim ini.

“Bersama Ancelotti peranan saya berubah. Tempat di belakang penyerang milik saya. Saya lebih bebas dan ia terbukti.”

Mertens menjaringkan 14 gol musim ini termasuk tiga perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 10:55 AM