MERTENS (kiri) menjaringkan gol untuk Napoli. FOTO AFP
MERTENS (kiri) menjaringkan gol untuk Napoli. FOTO AFP
AFP

DRIES Mertens membantu Napoli menempah tiket ke final Piala Itali selepas menjaringkan gol yang menyaksikan kelabnya meraih kemenangan menerusi agregat 2-1 mengatasi Inter Milan di separuh akhir serta mengesahkannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab.

Mertens menjaringkan gol ke-122 untuk kelabnya itu empat minit sebelum tamat babak pertama untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1 sekali gus mengesahkan kemenangan Napoli selepas mencatat kemenangan 1-0 pada aksi pertama di San Siro, Februari lalu.

Christian Eriksen menjaringkan gol pertama untuk Inter pada minit ke-2 dan pasukan pelawat dilihat mendominasi perlawanan sepanjang separuh masa pertama sebelum Mertens menamatkannya menerusi satu serangan balas untuk membawa Napoli ke final bertemu Juventus, Rabu ini di Rome.

"Kami mahu melangkah ke final dan berjaya mencapainya. Kini kami perlu melakukan persediaan untuk aksi final dalam tempoh beberapa hari saja lagi," kata Lorenzo Insigne yang menjadi arkitek gol kemenangan Mertens.

Mertens, 33, mengatasi rekod penjaring terbanyak kelab milik Marek Hamsik dan lebih tujuh jaringan berbanding legenda, Diego Maradona yang menjaringkan 115 gol disemua pertandingan dan memenangi dua kejuaraan Serie A dan Piala UEFA sepanjang tujuh musim bersama kelab itu.

Meskipun penonton tidak dibenarkan memasuki stadium di San Paolo, sekumpulan kecil penyokong Napoli yang berkumpul di luar stadium menghidupkan bunga api sebaik tamat babak pertama selepas Mertens menjaringkan gol.

Mertens berhijrah ke Napoli dari PSV Eindhoven pada 2013 dan dilihat selesa bersama kelab itu sehingga peminat menggelarkannya 'Ciro', gelaran yang cukup dihormati di negara itu.

Pengarah sukan kelab, Christian Giuntoli sebelum perlawanan berkata, kelab dan Mertens bersetuju untuk melanjutkan kontraknya yang dijangka berakhir pada hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 8:47 AM