MERTENS (dua kanan) mengatasi rekod jaringan Maradona bersama Napoli. — FOTO EPA
MERTENS (dua kanan) mengatasi rekod jaringan Maradona bersama Napoli. — FOTO EPA
Reuters

LORENZO Insigne membantu Napoli menang 3-2 di Salzburg pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas Dries Mertens dua kali membantu kelab Itali itu mendahului namun disamakan setiap kali oleh penyerang remaja Norway, Erling Haaland.

Dua gol Mertens membantunya mengumpul 116 gol bersama Napoli sekali gus mengatasi catatan Diego Maradona sebagai penjaring gol kedua terbanyak kelab itu di belakang Marek Hamsik.

Gol Insigne menamatkan rekod tanpa kalah Salzburg di laman sendiri dalam 71 perlawanan bagi semua pertandingan, kali terakhir mereka kalah pada aksi liga Austria 0-1 di tangan Admira Wacker pada November 2016.

Napoli mendahului Kumpulan E dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan, satu mata di depan Liverpool, manakala Salzburg di tangga ketiga sekalipun menjaringkan 11 gol – enam daripadanya sumbangan pemain berusia 19 tahun, Haaland yang sekali lagi membuktikan potensi besarnya.

INSIGNE (kiri), Elif Elmas, Fernando Llorente, Piotr Zielinski dan Fabian Ruiz meraikan kemenangan Napoli. — FOTO Reuters
INSIGNE (kiri), Elif Elmas, Fernando Llorente, Piotr Zielinski dan Fabian Ruiz meraikan kemenangan Napoli. — FOTO Reuters

“Ia malam istimewa buat Mertens yang mengatasi catatan Maradona dan juga buat kami kerana kami menang lagi dalam Liga Juara-Juara. Kini kami perlu meneruskan rentak ini,” kata jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti, pasukannya kalah 1-3 di Salzburg pada aksi Liga Europa musim lalu.

“Saya jangkakan perlawanan sebegini kerana untuk menang di sini anda perlu membuat pengorbanan serta bermain secara bijak.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 10:24 AM