FELDA United yang beraksi disaingan Liga Super musim ini berada pada tangga pertama berdepan tunggakan gaji hampir RM2.3 juta. FOTO Rosela Ismail
FELDA United yang beraksi disaingan Liga Super musim ini berada pada tangga pertama berdepan tunggakan gaji hampir RM2.3 juta. FOTO Rosela Ismail
Wan Asrudi Wan Hasan dan Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Jumlah tunggakan gaji pemain Liga Malaysia (Liga-M) kini mencecah hampir RM8.32 juta secara keseluruhan membabitkan lapan pasukan yang masih aktif beraksi mahupun sudah menutup 'kedai' gara-gara kegagalan menguruskan kewangan masing-masing.

Jumlah terbabit sememangnya tinggi dan boleh dikategorikan kronik umpama 'pesakit kanser tahap empat' yang sukar dirawat lagi dan hanya menunggu saat kematian.

Begitu juga dengan Liga-M, meskipun perbagai usaha dan mekanisme sudah dilakukan oleh pentadbir liga tempatan untuk 'merawat' gejala ini, namun masih lagi gagal malah meningkat saban musim dengan kancah 2018 dilihat kemuncak kepada masalah ini.

Daripada jumlah RM8.32 juta itu, FELDA United yang beraksi di saingan Liga Super musim ini berada pada tangga pertama berdepan tunggakan gaji hampir RM2.3 juta membabitkan pemain dan pegawai musim lalu yang cemerlang menjuarai Liga Perdana di bawah kendalian B Sathianathan.

Walaupun tunggakan gaji hanya berbaki dua bulan, dengan himpunan pemain ternama seperti Wan Zack Haikal, Shukor Adan, Syamim Yahya dan tonggak import, Thiago Fernandes serta Thiago Augusto tidak hairan mengapa skuad The Fighters mempunyai jumlah tunggakan tertinggi berbanding tujuh lagi pasukan lain.

Malah, difahamkan FELDA United juga gagal membuat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bonus serta yuran tandatangan yang mungkin mencecah ribuan ringgit.

Pasukan kedua yang mencatatkan gaji tertunggak tertinggi adalah Kuantan FA berjumlah RM1.72 juta dengan membabitkan 45 tuntutan daripada bekas pemain dan jurulatih kelab terbabit.

Selain itu, Pulau Pinang yang pernah muncul pasukan handalan dengan menjuarai empat kali Piala Malaysia dan Piala FA berada pada tangga ketiga dengan RM1.5 juta diikuti Hanelang FC (RM1.1 juta), Marcerra United (RM886,
400), Terengganu City FC (RM321,700), Perlis (RM460,000) dan Kelantan (RM32,000).

Jelas sekali jumlah berkenaan cukup menggerunkan dan tidak hairanlah mengapa Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menyatakan liga tempatan adalah antara liga paling tinggi berdepan kes tunggakan gaji di Asia ketika ini.

Ia bukan saja mencemarkan imej Liga-M di mata luar, malah turut memberi kesan buruk kepada pendapatan pemain dan persembahan pasukan secara keseluruhan yang akhirnya akan mematikan semangat penyokong dan penaja untuk memeriahkan saingan liga.

Harus diingat kebajikan pemain wajib dijaga kerana bola sepak adalah sumber pendapatan mereka dan tiada manusia yang sanggup bekerja tanpa gaji kerana mereka juga ada keluarga yang perlu ditanggung.

Hakikatnya, perkara ini sudah lama terjadi dan bukan baru muncul musim lalu atau musim ini.

Ia terus berlarutan walaupun pelbagai tindakan sudah diambil FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) termasuk memperkenalkan beberapa peraturan seperti pemotongan geran tahunan pasukan dan tindakan memotong mata untuk membendung masalah itu.

Namun, masih ada pihak yang menganggap langkah itu 'kejam' kerana memberi implikasi buruk terhadap kedudukan pasukan dalam liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 10:02 AM