SHAAKHMEDOV (dua kiri) meraikan jaringan dengan rakan sepasukan selepas meledak gol di Kuala Terengganu, malam ini. — FOTO Rozainah Zakaria
SHAAKHMEDOV (dua kiri) meraikan jaringan dengan rakan sepasukan selepas meledak gol di Kuala Terengganu, malam ini. — FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) memulakan kempen dengan bergaya selepas menundukkan PKNS FC 3-1 pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Skuad Penyu yang turun tanpa kapten, Lee Tuck yang digantung satu perlawanan bermula garang dan membuka tirai jaringan menerusi import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov pada minit kelima.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran satu-dua Shaakhmedov dengan pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya sebelum pemain itu merembat dari dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Hasil serangan balas pantas, penyerang skuad Semut Merah, Jafri Firdaus Chew mudah menolak masuk untuk gol penyamaan 1-1 pada minit ke-30 berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan yang diketuai bekas pemain TFC II, Serhii Andrieiev.

TCHETCHE (tengah) diasak oleh pemain PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. — FOTO Rozainah Zakaria
TCHETCHE (tengah) diasak oleh pemain PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. — FOTO Rozainah Zakaria

Berbekalkan sokongan lebih 6,000 peminat setia hitam putih, semangat melawan pemain TFC kian membara apabila terus bernafsu mengasak kubu pelawat, hasilnya mereka menambah gol kedua menerusi tandukan terbang Nasrullah Hanif Johan susulan hantaran Syamim pada minit ke-37.

Beberapa saat sebelum tamat, Shaakhmedov sekali lagi meledak gol kedua peribadinya yang juga jaringan ketiga pasukannya menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti untuk memastikan tiga mata buat anak buah pengendali sementara Nafuzi Zain.

Malang menimpa kapten TFC, Kipre Tchetche apabila dua percubaannya dibatalkan pengadil kerana ofsaid pada setiap babak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 11:36 PM